Pegawai Tugas-Tugas Khas Kepada Menteri Pertahanan, Mohd Nasaie Ismail (dua kanan) serta yang lain menunjukkan kenyataan media semasa membuat laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung 14 kes projek 'Land Swap' Kementerian Pertahanan di Pejabat SPRM, Putrajaya. foto FAREEZ FADZIL, 16 MEI 2019

PUTRAJAYA- Kementerian Pertahanan membuat 14 lagi laporan skandal ‘land swap’ (pertukaran tanah) kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini.

Jurucakapnya yang juga Pegawai Tugas-tugas Khas Menteri, Mohd Nasaie Ismail berkata, ini merupakan tindakan susulan selepas dua laporan berkaitan land swap tanah kementerian dilaporkan ke SPRM kelmarin.

Mohd Nasaie yang ditemui pemberita di luar perkarangan SPRM berkata, hasil siasatan pihaknya mendapati kerajaan telah rugi sekurang-kurangnya RM515.21 juta berikutan skandal penyewelengan ini.

“Seperti yang anda semua maklum, MINDEF telah membuat pendedahan skandal land swap tanah-tanah kementerian ini pada Khamis lepas melalui Laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) yang diketuai Tan Sri Ambrin Buang.

“Beliau yang merupakan bekas ketua Audit Negara telah menyiasat tentang 16 kes land swap di kementerian ini, sekali gus telah memberikan impak kepada kita.

“Keseluruhan 16 projek ini melibatkan 2,923 ekar tanah milik persekutuan yang bernilai RM4.7 bilion dan nilai projek yang sepatutnya dibangunkan sebanyak RM4.8 bilion.

“Tetapi sehingga Disember, hanya 5 projek telah berjaya di siapkan, 2 masih dalam pembinaan bakinya 9 gagal di siapkan atau dalam proses ditandatangani.

MGF16052019_SPRM LAND SWAP_05
Mohd Nasaie Ismail

“Juga menjadi tanda tanya dan kebimbangan apabila terdapat pertimbangan politik melebihi kepentingan kerajaan di 13 daripada 16 projek ini sehingga Suruhanajya Pilihan Raya (SPR) buat pengesahan beberapa kem telah digunakan untuk pemindahan pengundi.

“Kita pandang serius isu ini dan mahu SPRM siasat dan bawa pihak berwajib yang melakukan perkara ini ke muka pengadilan, bukan sahaja untuk kerajaan terdahulu sebaliknya juga kerajaan kini agar skandal seumpama ini tidak berlaku kelak,” katanya sebentar tadi.

Land Swap adalah satu kaedah pembangunan kem-kem tentera, perumahan anggota tentera dan kemudahan lain dibiayai melalui pertukaran tanah milik persekutuan yang diberikan kepada swasta untuk dibangunkan bagi tangani kekangan kewangan oleh kerajaan.

Jelas Mohd Nasaie lagi, pemilihan syarikat pelaksana projek ini tidak mengikut syarat iaitu berpengalaman dan mempunyai kedudukan kewangan kukuh iaitu minimum 10 peratus daripada nilai projek yang dibina.

“Ada empat projek yang nilaian tanah gantian yang diputuskan lebih rendah daripada nilai oleh Jabatan Pernilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) sehingga kerajaan rugi sebanyak RM166 juta.

“Kita bimbang kerajaan bukan sekadar kerugian wang, sebaliknya kedudukan strategik pertahanan terjejas kerana kegagalan projek tersebut,” ujarnya.

Khamis lepas, Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu ketika membentangkan laporan akhir JKSTUPKK di Dewan Negara menjelaskan, pelaksanaan 13 daripada 16 projek ini didapati ada penglibatan anggota pentadbiran iaitu bekas Perdana Menteri dan bekas Menteri Pertahanan. -MalaysiaGazette