Nor Shamsiah Mohd Yunus

KUALA LUMPUR –  Bank Negara Malaysia (BNM) kini membuka program lindung nilai dinamik kepada bank amanah serta kustodian global bagi pihak pelanggan mereka berkuat kuasa serta-merta.

Gabenor Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata langkah itu merupakan sebahagian usaha bank pusat untuk mempertingkat kecekapan pasaran, kebolehcapaian dan mudah tunai dalam pasaran kewangan domestik, dalam masa sama mengekalkan pasaran kewangan dalam pesisir yang teratur serta telus.

“Lindung nilai dinamik adalah hampir sama dengan lindung nilai bagi pasaran kontrak hadapan tanpa serahan, namun ini berbeza memandangkan ia bagi dalam pasaran domestik dan lebih telus berbanding pasaran NDF luar pesisir,” katanya kepada pemberita semasa taklimat mengenai prestasi ekonomi suku pertama 2019 di sini, hari ini.

Beliau berkata,, untuk melancarkan pengurusan risiko tukaran asing, profil pelaburan institusi akan diambil kira, dengan pelabur institusi yang berdaftar boleh menyertai kontrak hadapan untuk membeli ringgit melebihi had aset asas semasa pada 25 peratus sebaik sahaja diluluskan BNM.

“Bagi memudahkan kebolehcapaian pelabur kepada pasaran tukaran asing dalam pesisir maka tranksaksi tukaran asing dan proses dokumentasi akan terus ditambah baik dan dipermudahkan.

“Sehubungan itu, panduan dokumentasi standard untuk tukaran asing telah disusun oleh pihak industri dan akan diedarkan menerusi Persatuan Bank-bank dalam Malaysia bertujuan sebagai rujukan oleh peserta pasaran,” katanya.

Nor Shamsiah berkata, untuk membangunkan lagi platform lindung nilai berkesan kepada pelabur, BNM dengan kerjasama Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Bursa Malaysia dan peserta pasaran utama, akan meningkatkan lagi mekanisme penyampaian penyelesaian kontrak niaga hadapan Sekutiti Kerajaan Malaysia (MGS).

“Kita berharap dapat melaksanakannya (penambahbaikan penyelesaian kontrak niaga hadapan MGS) menjelang akhir tahun ini,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata BNM juga menyedari kepentingan peranan pasaran perjanjian pembelian semula (repo) dalam aktiviti dagangan pasaran sekunder, oleh itu, pihaknya akan meningkatkan lagi ketersediaan bon baharu yang menggantikan bon lama bagi tempoh matang tertentu untuk dipinjam menerusi repo bagi aktiviti pasaran.

Beliau berkata, garis panduan repo akan dikaji semula secara teratur untuk membolehkan, antara lain, melanjutkan tempoh repo melebihi setahun.

Program lindung nilai dinamik yang diperkenalkan pada Disember 2016, menyediakan peluang kepada pelabur bukan pemastautin untuk menguruskan dedahan tukaran asing dalam pesisir mereka secara aktif.

Setakat ini, program itu mencatatkan 88 pelabur berdaftar menguruskan sejumlah aset bernilai US$30.8 bilion (US$1=RM4.17) – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.