KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia ditutup rendah di bawah paras sokongan utama 1,600 mata dalam keadaan aktiviti pengambilan untung selepas meningkat semalam dan kewujudan semula kebimbangan mengenai perang perdagangan.

Petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 12.24 mata mengakhiri sama seperti ditutup pada Selasa pada 1,599.19, merupakan terendah sejak September 2015, dengan kebanyakan saham komponen indeks rendah.

Indeks dibuka rendah 2.21 mata kepada 1,609.22 pagi ini daripada 1,611.43 pada Rabu dan bergerak antara paras terendah 1,599.19 dan paras tertinggi 1,610.78.

Kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 520 berbanding 259 dengan 348 kaunter tidak berubah, 784 tidak diniagakan dan 23 yang lain digantung.

Jumlah dagangan merosot kepada 2.03 bilion saham bernilai RM1.71 bilion daripada 2.55 bilion saham bernilai RM2.12 bilion semalam.

Ketua Penyelidikan Inter-Pacific Securities Sdn Bhd Pong Teng Siew berkata, pelabur, terutamanya mereka dalam sektor runcit, dalam ‘mood’ pengambilan untung dan enggan mengambil langkah untuk membeli.

“Kebanyakannya memilih untuk menjual dan pengambilan untung selepas meningkat pada dua hari lepas,” katanya.

Beliau berkata, data pertumbuhan ekonomi terkini Malaysia yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia hari ini memberi impak yang minimum kepada pasaran ekuiti walaupun pertumbuhan sebanyak 4.5 peratus dicatatkan pada suku pertama 2019.

“Sektor yang memberi sumbangan terbaik kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) ialah pertanian dan kebanyakan yang lain mencatatkan pertumbuhan yang perlahan.

“Kita tahu segmen minyak sawit lemah, dan dari segi KDNK nominal, sumbangan pengeluaran pertanian mungkin tidak begitu baik. Itu sebabnya pasaran kurang menggalakkan,” katanya kepada Bernama.

Selain itu, kebimbangan mengenai ketegangan perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China terus mempengaruhi sentimen pelabur selepas Presiden AS Donald Trump mengisytiharkan darurat berhubung ancaman terhadap teknologi AS.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank merosot lima sen kepada RM8.96, Public Bank susut 22 sen kepada RM22.26 dan Petronas Chemicals turun satu sen kepada RM8.8, manakala Petronas Dagangan meningkat 12 sen kepada RM24.52.

Daripada saham yang diniagakan secara aktif, newly-listed Leong Hup International yang baru disenaraikan ditutup tidak berubah pada harga tawaran sebanyak RM1.10 dengan 215.4 juta saham bertukar tangan.

Vortex naik satu sen kepada 28.5 sen dan Lambo susut satu sen kepada 6.5 sen.

Indeks FBM Emas merosot 89.79 mata kepada 11,263.38, FBMT 100 susut 89.77 mata kepada 11,097.12 dan FBM 70 jatuh 131.44 mata kepada 13,818.70.

Indeks FBM Emas Syariah berkurangan 93.54 mata kepada 11,432.18 dan Indeks FBM Ace turun 22.11 mata kepada 4,426.38.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 82.07 mata kepada 16,496.72, Indeks Perladangan merosot 59.93 mata kepada 6,872.66 serta Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan berkurangan 0.44 mata kepada 164.07.

Jumlah dagangan Pasaran Utama susut kepada 1.16 bilion saham bernilai RM1.54 bilion daripada 1.35 bilion saham bernilai RM1.94 bilion semalam.

Jumlah dagangan waran berkurangan kepada 345.23 juta unit bernilai RM99.75 juta daripada 371.31 juta unit bernilai RM94.57 juta.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE susut kepada 521.16 juta saham bernilai RM73.67 juta daripada 829.93 juta saham bernilai RM85.58 juta.

Barangan pengguna dan perkhidmatan menyumbang 398.43 juta saham diniagakan di Pasaran Utama, produk perindustrian dan perkhidmatan (127.97 juta), pembinaan (161.43 juta), teknologi (44.70 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (34.47 juta), hartanah (73.72 juta), perladangan (18.80 juta), REIT (4.17 juta), dana tertutup (7,300), tenaga (171.13 juta), penjagaan kesihatan (49.30 juta), telekomunikasi dan media (25.21 juta), pengangkutan dan logistik (33.27 juta) dan utiliti (22.08 juta). – MalaysiaGazette