Bank Negara
Logo Bank Negara Malaysia

KUALA LUMPUR – Ekonomi Malaysia berkembang 4.5 peratus pada suku pertama tahun ini.

Bank Negara Malaysia (BNM) berkata, aktiviti sektor swasta kekal sebagai pemacu pertumbuhan, disokong oleh pertumbuhan kukuh perbelanjaan persendirian sepanjang tempoh itu.

Di sisi penawaran, sektor utama terus berkembang, kecuali sektor perlombongan akibat penurunan pengeluaran minyak dan gas asli susulan penutupan kemudahan-kemudahan pengeluaran yang tidak dirancang.

Bank Pusat itu berkata, ekonomi Malaysia dijangka terus kukuh dengan permintaan sektor swasta dijangka terus menjadi pendokong pertumbuhan di tengah-tengah perbelanjaan sektor awam yang lebih rendah.

Sektor luaran mungkin berkembang sedikit, selaras dengan permintaan global yang sederhana.

“Secara keseluruhannya, ekonomi Malaysia diunjur berkembang antara 4.3 hingga 4.8 peratys pada tahun ini manakala kadar inflasi dijangka berlegar di antara 0.7 peratus hingga 1.7 peratus.

“Inflasi dijangka stabil, disokong oleh pengembangan berterusan dalam aktiviti ekonomi dan ketiadaan tekanan permintaan yang kukuh,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

BNM memberitahu, lonjakan semula dalam sektor pertanian (S1 2019: 5.6%; S4 2018: -0.1%) disebabkan pemulihan kukuh dalam hasil kelapa sawit memberikan peningkatan tambahan kepada pertumbuhan.

Berdasarkan suku ke suku tahunan yang diselaraskan, ekonomi meningkat sebanyak 1.1 peratus dan bagi suku tersebut, purata inflasi utama purata -0.3% (S4 2018: 0.3%).

Tambahnya, inflasi utama menjadi negatif pada bulan Januari dan Februari (-0.7% dan -0.4%) disebabkan harga bahan api dalam negeri yang lebih rendah.

Bagaimanapun, inflasi utama berubah positif pada bulan Mac (0.2%) selari dengan trend kenaikan minyak dunia yang semakin meningkat mendorong harga bahan api domestik lebih tinggi.

Menurutnya, inflasi teras tidak termasuk dalam kesan perubahan dasar cukai penggunaan, tidak berubah pada 1.6 peratus.

Bermula suku pertama 2019, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada harga malar telah diasaskan semula kepada harga tahun asas 2015 daripada harga tahun asas 2010.

Pengasasan semula tahun asas yang dibuat oleh Jabatan Perangkaan Malaysia mencerminkan penambahbaikan
terhadap sumber dan liputan data, serta peningkatan metodologi, selaras dengan piawaian antarabangsa bagi penyusunan statistik. – MalaysiaGazette