SYDNEY – Harga minyak dunia naik dalam dagangan hari ini kepada tiga sesi berturut-turut meskipun ketegangan berlaku di Timur Tengah meningkatkan kebimbangan potensi berlakunya gangguan.

Niaga hadapan Brent didagangkan kepada AS$72.04 setong naik 0.4 peratus dan West Texas Intermediate (WTI) pula meningkat kepada AS$62.27 setong daripada sesi sebelumnya.

Para penganalisis berkata, minyak menarik sokongan daripada ketegangan yang semakin meningkat di Timur Tengah selepas helikopter digunakan untuk membawa keluar kakitangan Amerika Syarikat dari kedutaannya di Baghdad semalam kerana bimbang dengan ancaman Iran.

“Ketegangan Timur Tengah telah meningkat dengan Amerika Syarikat bersedia untuk menggunakan tekanan di Tehran dan memindahkan kedutaannya di Iraq kerana kebimbangan keselamatan,” kata Alfonso Esparza, penganalisis pasaran kanan, OANDA.

Walau bagaimanapun, peningkatan kejutan dalam stok simpanan Amerika Syarikat telah menjejaskan kenaikan harga bahan bakar itu.

Simpanan minyak mentah A.S. meningkat secara tidak diduga minggu lalu kepada yang tertinggi sejak September 2017, manakala stok minyak turun lebih rendah daripada ramalan, kata Pentadbiran Maklumat Tenaga (EIA).

Stok mentah naik 5.4 juta tong sedangkan kebanyakan penganalisis menjangkakan berlaku penurunan sebanyak 800,000 tong. – MalaysiaGazette