Foto Instagram Michael Ang

KUALA LUMPUR – Penerbit dan pengarah, Michael Ang yang memeluk Islam sejak setahun lalu berkata, dia tidak kisah pandangan orang lain, asalkan ibunya merestui keputusannya.

Biarpun ramai yang gembira apabila dia mengumumkan berita itu, Michael tidak menafikan, ada segelintir pihak melemparkan pandangan negatif, termasuk menuduhnya sengaja membuat gimik.

“Tuduhan itu agak keras, tetapi saya malas mahu layan. Saya buat tidak tahu sahaja kerana yang penting, ibu menerima keputusan saya untuk menjadi Muslim.

“Ibu sangat gembira, malah siap membelikan periuk baharu untuk kegunaan memasak makanan kegemaran saya,” kata pengarah filem Kimchi Untuk Awak itu.

Michael, 43, berkata, dia masih dalam proses memperbaiki diri, termasuk melancarkan bacaan dalam solat.

Akuinya, dia masih sukar menghafal surah dalam bahasa Arab dan terpaksa menggunakan terjemahan Inggeris ketika solat.

“Sebelum ini, saya ada belajar dengan ustaz dan sempat beberapa kali menghadiri kelas agama. Disebabkan jadual kerja yang ketat dan kesibukan di lokasi penggambaran, saya cuba belajar sendiri, termasuk menggunakan al-Quran digital.

“Saya turut menggunakan kaedah pembelajaran menerusi YouTube. Bagi saudara baharu seperti saya, cara ini agak mudah kerana ia membabitkan dua teknik iaitu audio dan visual,” kata Michael atau nama lengkapnya, Michael Ang Hai Swee.

Beralih kepada perkembangan kerjaya seninya, pengarah drama rantaian, Suri Hati Mr Pilot itu menjelaskan, dia kini sibuk menyiapkan program masakan, Michael Ang’s Halal Kitchen.

“Saya suka makan dan selepas memeluk Islam, ada antara makanan kegemaran saya yang tidak lagi boleh dijamah kerana tidak halal.

“Menerusi program ini saya menampilkan hidangan yang diolah resipinya menggunakan ramuan halal. Saya harap program ini memberi inspirasi kepada penonton dalam mempelbagaikan sajian mereka,” katanya memetik laporan BH Online.

Michael juga baru selesai mengarah drama bersiri, Setelah Terlafaznya Akad, lakonan Kamal Adli dan Uqasha Senrose. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.