Lim Guan Eng

KUALA LUYMPUR – Jumlah terkini akaun Tabung Harapan Malaysia (THM) adalah RM203,292,117.41, dicampur dengan hasil pelaburan simpanan tetap sebanyak RM575,342.31.

Ketika tabung itu ditutup pada 14 Januari lalu ialah RM202,716,775.10.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, Jawatankuasa Akaun yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan akan memutuskan penggunaan dana dalam akaun amanah ini mengikut tatacara yang termaktub dalam arahan amanahnya.

Ia akan digunakan untuk pembayaran hutang Kerajaan Persekutuan dan pembayaran balik yang perlu dilakukan bagi tujuan akaun amanah ini sahaja.

Ini bagi memastikan penggunaan dana THM dilakukan secara profesional dan telus.

“Mesyuarat Jawatankuasa Akaun Amanah THM Bil.1/2019 pada 24 April 2019 telah bersetuju memutuskan bahawa kesemua dana dalam THM ini akan digunakan bagi melunaskan sebahagian hutang 1MDB yang berjumlah RM1,704.78 juta bagi tahun 2019 ini.

“Meskipun dana THM ini tidak mungkin boleh melangsaikan semua hutang 1MDB sebanyak RM51 Bilion, Tabung Harapan akan
kekal menjadi simbol semangat taat setia dan patriotisme rakyat Malaysia untuk melangsaikan hutang negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan