Matawang negara iaitu Ringgit Malaysia (RM). foto FAREEZ FADZIL, 03 JANUARI 2019

KUALA LUMPUR – Ringgit meningkat untuk ditutup tinggi hari ini, didorong oleh data keluaran dalam negara kasar (KDNK) yang menunjukkan pertumbuhan ekonomi suku pertama yang lebih pantas berbanding unjuran, kata peniaga.

Pada 6 petang, ringgit ditutup tinggi kepada 4.1630/1660 berbanding dolar daripada 4.1730/1760 pada penutupan Rabu.

Seorang peniaga berkata ringgit mengukuh berbanding dolar selepas data yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia menunjukkan ekonomi negara berkembang 4.5 peratus pada suku pertama 2019, yang lebih tinggi berbanding unjuran pakar ekonomi pada 4.3 peratus.

“Data itu juga menunjukkan lebihan akaun semasa Malaysia meningkat kepada RM16.4 bilion pada suku pertama 2019 daripada RM10.8 bilion pada suku keempat 2018,” katanya.

Ringgit didagangkan tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Unit tempatan mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.0414/0447 daripada 3.0471/0497 pada Rabu dan berbanding yen Jepun kepada 3.7991/8021 daripada 3.8162/8193.

Mata wang tempatan juga tinggi berbanding pound British kepada 5.3407/3462 daripada 5.3836/3891 dan tinggi berbanding euro kepada 4.6667/4713 daripada 4.6729/6784 semalam. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan