Mohamed Ikhwan Shahdzul Bakri
Pengarah MyIPO (Business Development Division), Mohamed Ikhwan Shahdzul Bakri berucap pada Program Inovasi Malaysia Baharu anjuran Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) di Intercontinental Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 16 MEI 2019

KUALA LUMPUR – Malaysia perlu mensasarkan sehingga 50 peratus pemilikan fail paten oleh rakyat tempatan menjelang 2024 sekiranya mahu menjadi negara maju setanding dengan negara Asia lain khususnya Jepun.

Pengarah (Jabatan Pembangunan Perniagaan) Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), Mohamed Ikhwan Shahdzul Bakri berkata, menurut statistik badan itu, pemilikian paten oleh warga tempatan hanya mencecah 15 peratus sejak lima tahun lalu.

“Berdasarkan statistik yang kita ada, hanya 15 peratus fail paten di Malaysia dimiliki oleh rakyat tempatan, ini statistik MyIPO sejak 5 tahun lepas. Sebaliknya 85 peratus fail paten di Malaysia dimiliki oleh warga asing.

“Ia bermaksud hanya 15 peratus paten di Malaysia dimiliki oleh warga tempatan. Angka ini agak berbeza kalau kita nak bandingkan dengan Jepun di mana 80 peratus fail yang dipatenkan di Jepun dimiliki oleh warga tempatan.

“Jepun hanya membenarkan 20 peratus paten difailkan dan dimiliki oleh warga asing. Ia agak kontras jika dibandingkan dengan Malaysia.

“Sebab itu kita boleh tengok Jepun dari segi teknologi berbanding di Malaysia,” katanya berucap pada forum ‘Mempromosikan Inovasi Malaysia Baharu: Membentuk Agenda IP Kerajaan’ anjuran Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) dan Geneva Network di Hotel Intercontinental, di sini, hari ini.

IDEAS
Sebahagian peserta yang hadir pada Program Inovasi Malaysia Baharu anjuran Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) di Intercontinental Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 16 MEI 2019

Mohamed Ikhwan juga berkata, rekod paten teknologi yang didaftar di Jepun milik warga tempatan sehingga 80 peratus itu menjadi cabaran kepada Malaysia sekiranya mahu menjadi negara maju menjelang 2030.

“Macam mana kita nak memacu inovasi dalam tempoh lima hingga 10 tahun kalau kita mahu lihat negara ini maju.

“Jika tidak capai 80 peratus, sekurang-kurangnya kita boleh capai 50 peratus. Ia cabaran besar buat Malaysia,” katanya lagi – MalaysiaGazette