KUALA LUMPUR – PLUS Malaysia Berhad (PLUS) hari ini menyerahkan 10 buah Honda CRV kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebagai sebahagian daripada usaha meningkatkan keselamatan di lebuh raya.

Kenderaan-kenderaan penguatkuasa dengan nilai keseluruhan RM1.3 juta itu diserahkan kepada Timbalan Ketua Pengarah JPJ, Zamakhshari Hanipah oleh Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail di Persada PLUS.

Majlis penyerahan itu disaksikan oleh Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Kamarudin Jaffar dan Pengerusi PLUS, Tan Sri Mohd Sheriff Mohd Kassim.

“Penyampaian kenderaan ini akan meningkatkan keselamatan di lebuh raya kami melalui penguatkuasaan secara kerap oleh JPJ. Penyerahan kenderaan kepada JPJ adalah inisiatif untuk membantu pihak berkuasa menjalankan tugas pemantauan dan penguatkuasaan di lebuh raya,” jelas Azman.

Kerjasama PLUS-JPJ, serta agensi-agensi penguatkuasaan lain dan inisiatif keselamatan jalan raya yang dilaksanakan sendiri oleh PLUS, menyaksikan penurunan jumlah kemalangan di Lebuhraya Utara-Selatan.

Sebanyak 14,532 kemalangan dilaporkan pada 2016 dan angka itu menyusut kepada 13,269 pada tahun 2018.

“Kami juga menyediakan 2 buah Stesen JPJ di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Dengkil dan Gunung Semanggol untuk membantu JPJ dalam menjalankan program advokasi dan keselamatan jalan raya di lebuh raya.

“Manakala Stesen Penguatkuasaan JPJ ketiga di R&R Pagoh akan dibuka tidak lama lagi,” tambah Azman.

“Kehadiran pihak berkuasa di lebuh raya dapat mengurangkan kesalahan lalu lintas seperti penyalahgunaan lorong kecemasan, pemanduan tidak berhemah dan melebihi had laju,” jelas Azman. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.