Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraidah Kamaruddin bercakap kepada media selepas menghadiri Majlis Jalinan Mesra Ramadan bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia di Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 16 MEI 2019

PUTRAJAYA – Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, beliau tidak tahu atas dasar apa khabar angin pilihan raya mengejut tersebar luas sedangkan kerajaan baharu pimpinan Pakatan Harapan sedang mengharungi ‘fasa pemulihan’ menyeluruh.

Naib Presiden PKR itu juga menjelaskan prestasi penyampaian menteri-menteri Kabinet bertambah baik dan meyakinkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk terus mendapat kepercayaan rakyat yang memilih mereka.

“Insya-Allah kita lihat prestasi peningkatan pada menteri-menteri Kabinet makin hari semakin bertambah baik dan banyak perkara baharu telah diperkenalkan dan kita sedang bergerak ke depan.

“Kita akan lihat kerajaan kita ada dalam fasa kemajuan. Saya ingat itu Ku Li (Tengku Razaleigh Hamzah) sendiri terkejut,” kata Zuraida kepada pemberita selepas Majlis Iftar bersama Pegawai dan Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia di sini.

Turut hadir Ketua Pengarah JBPM, Datuk Mohammad Hamdan Wahid.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah yang menyeru pembahagian kerusi antara UMNO dan Pas untuk PRU15 perlu disegerakan.

Ini kerana, menurut Ku Li, wujud kemungkinan berlakunya PRUsecara mengejut lebih awal dan kedua dua parti pembangkang itu perlu bersedia menerima perubahan kepimpinan kerajaan.

Mengulas lanjut, Zuraida berkata, beliau tidak melibat sebarang keperluan diadakan pilihan raya mengejut namun terpulang kepada Ku Li untuk melontarkan pandangan seumpama itu.

Beliau turut ditanya mengenai pandangan pihak tertentu bahawa Tun Dr Mahathir Mohamad tidak akan menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, perdana menteri kini akan memimpin ke arah siapa yang akan menjadi perdana menteri pada masa depan.

“Kalau sebelum PRU15, kita biarkan Tun Mahathir untuk membuat perancangan dan keputusan.

“Dan sudah tentu beliau juga mengatakan keputusan itu bukan keputusan sendiri dan ia tertakluk kepada input-input pihak terlibat, jadi kita lihat bagaimana nanti,” ujarnya.

Ditanya sama ada beliau mengetahui ada dalam kalangan pemimpin PH yang tidak menyukai Anwar untuk menggantikan Tun M, beliau berkata: “Dahulu Dr Mahathir tidak disukai namun kini menjadi Perdana Menteri ketujuh.”

“Jadi tiada yang mustahil sebenarnya (Anwar akan diangkat sebagai pengganti Tun M juga)..Itu situasinya jadi kita tunggulah!”.-MalaysiaGazette

Video berkaitan: