Tun Dr Mahathir Mohamad ketika menghadiri majlis sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan di Pulau Pinang, hari ini. foto Bernama

GEORGETOWN – Sifat-sifat rajin, amanah dan berdisiplin perlu diterapkan dalam kalangan murid-murid supaya mereka dapat mengamalkannya dari awal lagi sehingga dapat menjadi budaya yang membawa kejayaan, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini.

Katanya, ketiga-tiga nilai itu perlu dipegang dan diamalkan seluruh rakyat Malaysia untuk kekal maju serta berjaya dalam bidang yang mereka ceburi.

“Jika ada tiga nilai ini, kita pasti akan menjadi bangsa yang berjaya, ” katanya semasa berucap merasmikan Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan kali ke-48 di Pusat Konvensyen Setia Spice di Bayan Lepas, dekat sini.

Menurutnya Dasar Pandang ke Timur masih ditekankan oleh beliau kerana negara-negara Timur yang maju seperti Jepun dan Korea disegani dunia bukan hanya kerana kemajuan yang dicapai mereka tetapi juga kerana tiga nilai itu yang disemai dengan semangat patriotisme.

“Guru-guru dimuliakan kerana tugasnya amat murni iaitu mendidik anak-anak supaya mereka bersedia untuk melalui cabaran dan berpegang kepada nilai-nilai murni serta prinsip-prinsip sejagat, ” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan