Syabas mengeluarkan notis gangguan bekalan air di sekitar Shah Alam hari ini.
Syabas mengeluarkan notis gangguan bekalan air di sekitar Shah Alam hari ini.

SHAH ALAM – Selepas hampir seminggu penduduk di beberapa daerah Klang mengalami masalah gangguan bekalan air, mulai hari ini pelanggan atau pengguna di Shah Alam pula akan berdepan masalah sama.

Gangguan di beberapa kawasan di Shah Alam berlaku akibat kerosakan peralatan pada salah satu pam utama Logi Rawatan Air Sungai Selangor Fasa Tiga (SSP3).

Menurut Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd, Abdul Raof Ahmad, pihaknya mendapati bacaan paras kolam dan sistem agihan berlaku penurunan.

Katanya, akibat penurunan paras kolam itu, gangguan bekalan air secara berperingkat ke kawasan berkenaan berlaku sejak jam 2 petang ini.

Antara kawasan yang mengalami gangguan air ialah Bukit Kuda dan Jalan Batu 3 Lama, Intekma Seksyen 7, keseluruhan Seksyen 7, keseluruhan Seksyen 9, Seksyen 2, Seksyen 3, Seksyen 4, Seksyen 5, Seksyen 6, Seksyen 8, Seksyen 10 dan Seksyen 11.

Turut terjejas ialah Seksyen 12, Seksyen 13, Seksyen 14, Seksyen 15, Seksyen 16 dan Padang Jawa, Seksyen 17, Seksyen 18, Seksyen 19, Seksyen 20, Seksyen 23, Seksyen 24, Seksyen 25, Taman Putramas dan UiTM Shah Alam Kampus Induk.

Sehubungan itu, katanya, Syarikat Bekalan Air Sdn Bhd (syabas) dan Ahli Kumpulan Air Selangor menasihatkan pelanggan menyimpan bekalan air secukupnya.

“Pihak kami akan menggerakkan bantuan lori tangki air ke kawasan tersebut dan kami memohon maaf atas segala kesulitan serta mengambil segala tindakan perlu bagi mengurangkan impak gangguan dan mempercepatkan pemulihan,” katanya.

Beliau meminta pelanggan merujuk aplikasi Air Selangor dan laman sesawang www.syabas.com.my untuk maklumat dan status terkini yang akan dikemaskini dari semasa ke semasa. – MalaysiaGazette