Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun menyampaikan bunga kepada sebahagian guru KEMAS sebagai tanda penghargaan pada Majlis Sambutan Hari Guru Kementerian Pembangunan Luar Bandar 2019 di Bangunan MARA, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 16 MEI 2019

KUALA LUMPUR – Tidak wujud keperluan untuk kerajaan menambah tenaga pengajar di semua Insititusi Pendidikan Majlis Amanah Rakyat (IPMa) di seluruh negara.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, nisbah jumlah tenaga pengajar dengan bilangan pelajar sedia ada di kesemua institusi di bawah Mara masih boleh diuruskan.

Setakat ini katanya Mara mempunyai seramai 10, 485 orang guru di 343 buah IPMa dan secara keseluruhan mempunyai hampir 114,378 pelajar aktif yang menjadi aset penting kepada pembangunan negara.

“Buat masa ini kalau ikutkan nisbah tenaga pengajar dan pelajar Mara masih boleh diuruskan, tidak wujud keperluan menambah warga pendidik, cuma guru guru perlu kreatif mengikut peredaran masa kerana murid murid sekarang terdedah kepada teknologi tinggi.

“Maka guru perlu lebih ke hadapan daripada murid dalam menguasai ilmu teknologi kerana peranan mereka tidak hanya terbatas sekadar menyampaikan kandungan silibus dalam bilik darjah.

“Sebagai pendidik mereka perlu kreatif dan invatif dalam pembangunan ilmu sekaligus membangunkan potensi anak didik seiring dengan perkembangan keperluan pasaran semasa,” katanya selepas Majlis Sambutan Hari [email protected] 2019 du Anjung Korporat Bangunan Mara di ibu negara bersama Timbalan Menteri R.Sivarasa dan Pengerusi Mara, Dr Hasnita Hashim.

Di majlis itu seramai 20 orang pegawai perkhidmatan Pendidikan Mara diberi watikah kenaikan gred bersempena sambutan yang bertemakan ‘Guru Obor Hemah Menyinari Pertiwi’.

Ahli Parlimen Titiwangsa itu juga mengakui bahawa tugas seorang warga pendidik adalah sangat mencabar dan memerlukan komitmen yang tinggi dalam melahirkan modal insan yang memenuhi keperluan pasaran dunia.

Menurutnya dalam konteks berkaitan, kebolehpasaran graduan IPMa meningkat sebanyak 85 peratus bagi 2018 berbanding 80 peratus pada tahun sebelumnya sekali gus membuktikan bahawa IPMa dan Pelan Pembangunan Pendidikan Mara berjaya mewujudkan para graduan berdaya saing dan mempu mendepani cabaran mendatang.

“Kami menjalin kerjasama dengan pemain industri untuk sentiasa mengemaskini keperluan pasaran semasa dalam memastikan modul pembelajaran serta penghasilan graduan di bawah Mara menepati cita rasa pasaran industri dunia,” katanya lagi.

Menurutnya untuk tahun ini kementerian telah menyalurkan peruntukan kerajaan sebanyak RM1.1 bilion belanja mengurus untuk sektor Pendidikan Mara.

Rina sekali lagi menekannya komitmen kementerian dalam membantu para pendidik di IPMa meningkatkan ilmu pendidikan mereka antaranya menyediakan peluang melanjutkan pengajian peringkat Sarjana dan Doktor falsafah (PhD).

“Peruntukan kerajaan ini akan dimanfaatkan kementerian untuk membantu para warga pendidik kami dengan menyediakan peralatan pengajaran dan pembelajaran seperti peranti perisian dan pekakasan mengikut teknologi semasa untuk mereka hadam dan kongsi dalam bilik darjah.

“Lagipun pengeluaran kebolehpasaran graduan kami kebanyakanya melibatkan profesional iaitu TVET, Kejuruteraan IR, arkitek, Robotik, kedoktoran dan perakaunan,” tegasnya lagi.- MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan