Abdul Hamid Bador
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador

KUALA LUMPUR – Polis Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman berjaya menangkap dua suspek tempatan dan seorang warga Indonesia yang disyaki terlibat menyokong kumpulan militan keganasan Daesh.

Mereka ditahan di sekitar Kedah dan Selangor pada 14 Mei lalu kerana disyaki memberi sokongan kepada kumpulan Daesh dan merancang melancarkan serangan di negara ini dan Indonesia.

Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, tangkapan ketiga tiga suspek berkenaan merupakan susulan penangkapan empat suspek pengganas Daesh di Terengganu dan Lenbah Klang antara 5 dan 7 Mei lalu.

Katanya, dua suspek tempatan yang berasal dari Bidong Kedah, ditangkap dalam serbuan pertama di Kuala Muda, Kedah dikenali sebagai Muhammad Syazani Mahzan dan Muhamad Nuurul Amin Azizan berusia 27 tahun.

Mereka disenarai sebagai individu dikehendaki polis pada 13 Mei dan ditangkap ketika menyerah diri hasil kerjasama ahli keluarga masing masing.

“Muhammad Syazani merupakan penjual burger manakala Muhamad Nuurul adalah pekebun biasa.

“Kedua dua suspek bersama seorang lagi warga tempatan Muhammad Izham Razani yang ditangkap pada 22 Novomber lalu di Sungai Petani Kedah pernah menjalani latihan membuat bom di Jogjakarta pada tahun lalu di bawah kendalian kumpulan keganasan Jemaah Ansharut Daulah Indonesia.

“Di situ suspek suspek mempelajari kaedah menghasilkan Triacetone Triperoxide (TATP), sejenis bahan Kimia yang digunakan untuk menghasilkan letupan berskala besar dan bom kenderaan,” katanya.

Menurut Abdul Hamid, Muhammad Syazani pula disyaki merancang serangan ke atas rumah ibadat bukan Islam di Malaysia menggunakan kaedah serangan bom bunuh diri.

“Tangkapan kedua melibatkan warga indonesia iaitu Nuruddin [email protected] Tir berusia 34 tahun ditangkap di Banting Selangor pada 14 Mei hasil maklumat orang awam merupakan anggota Sel Wolf Pack Daesh yang ditangkap pada 5 dan 7 Mei lalu,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini.

Tambah beliau, lelaki Indonesia berkenaan turut terlibat dalam rancangan melakukan operasi pembunuhan dan serangan ke atas tempat ibadat Kristian, Hindu, Buddha dan pusat hiburan di sekitar Lembah Klang.

“Suspek terdedah dengan ideologi kumpulan Daesh semasa menjalani hukuman penjara lima tahun di Surabaya Indoesia,” katanya.

Kesemua yang ditangkap disyaki melakukan kesalahan di bawah Bab VIA Kesalahan Berkaitan Keganasan, Kanun Keseksaan Akta 574 dan akan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747). – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.