Takehiko Nakao berjabat tangan dengan Dr Mahathir Mohamad ketika mengunjungi perdana menteri di pejabatnya.

KUALA LUMPUR – Bank Pembangunan Asia (ADB) sedia menawarkan bantuan sokongan kepada Malaysia dalam projek-projek pembangunan.

Ia termasuk dalam bidang air, pengangkutan bandar dan tenaga boleh diperbaharui.

Presidennya, Takehiko Nakao berkata, bantuan dan sokongan itu termasuk kemungkinan pinjaman untuk membantu Malaysia menggabungkan teknologi yang lebih canggih, mempelbagaikan sumber pembiayaan projeknya, dan menangani kelestarian hutang.

Bantuan ADB akan memupuk pertumbuhan inklusif, meningkatkan kapasiti institusi, meningkatkan kecekapan kerajaan, dan menggalakkan tindakan perubahan iklim.

Perkara itu dibincangkan semasa Nakao semasa mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sempena lawatan dua hari ke Malaysia.

Ini merupakan pertemuan kedua Dr Mahathir dengan Nakao sejak 2013.

ADB dalam kenyataannya berkata, Nakao dan Dr Mahathir bersetuju mengenai kepentingan penglibatan ADB yang berterusan dengan negara berpendapatan pertengahan seperti Malaysia berdasarkan Strategi ADB 2030 dalam menyokong bidang-bidang ini.

Nakao turut mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri terhadap usaha reformasi pentadbirannya pada tahun pertama, termasuk langkah-langkah untuk menggunakan sumber kewangan dengan cekap untuk projek-projek pembangunan, memperkuat inisiatif anti-rasuah, dan meningkatkan ekosistem perniagaan Malaysia.

Beliau juga memuji keadaan makroekonomi negara yang kukuh, termasuk pertumbuhan kukuh, kestabilan harga, lebihan akaun semasa dan paras rizab pertukaran asing yang sihat, selain menyokong dasar kerajaan untuk menggalakkan sektor pertumbuhan baru dan meningkatkan kemahiran pekerja Malaysia.

“Saya menghargai usaha kerajaan untuk mengimbangi objektif pertumbuhannya dengan keperluan pengurusan fiskal yang berhemat untuk memastikan pertumbuhan yang mampan dan inklusif.

“Penekanan yang lebih kuat terhadap negara-negara miskin akan membantu mempersempit jurang pembangunan dan meningkatkan taraf hidup 40% penduduk terendah selaras dengan wawasan kerajaan,” katanya.

Malaysia menyertai ADB sebagai ahli pengasas pada tahun 1966. Sejak itu, Malaysia menerima sebanyak AS$2 bilion bantuan ADB untuk 77 projek pelaburan, kebanyakannya pada tahun 1980-an dan 1990-an, dalam sektor seperti pertanian, pendidikan, tenaga dan pengangkutan.

Pinjaman ADB yang terakhir ke Malaysia telah diluluskan pada tahun 1997 untuk projek pembangunan kemahiran. – MalaysiaGazette