Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun (tengah) bersama Pengerusi Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Datuk Junaidah Kiting (empat kanan) bergambar bersama penerima sumbangan pada Majlis Iftar Ramadan Bersama Media Anjuran Amanah Ikhtiar Malaysia di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 17 MEI 2019.

KUALA LUMPUR – Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) menyasarkan sehingga 400,000 sahabat (peminjam) bagi pembiayaan mikro membabitkan peruntukan RM2.5 bilion menjelang akhir tahun ini.

Pengerusinya, Datuk Junaidah Kiting berkata, ia akan memberi impak penambahan hampir 80,000 sahabat baharu seluruh Malaysia di mana kesemua dalam golongan B40.

“Peruntukan ini dapat membantu sahabat mengembangkan lagi perniagaan dan memberi manfaat kepada lebih ramai wanita dari kategori B40 untuk menceburi bidang perniagaan,” katanya berucap pada Majlis Iftar Ramadan Bersama Media di Hotel Seri Pacific hari ini.

Hadir sama Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun yang turut menyampaikan sumbangan Iftar Ramadan AIM.

Sumbangan itu berbentuk barangan makanan asas yang bernilai RM22, 200 akan diagihkan kepada 111 sahabat AIM di Kuala Lumpur dan Selangor.

Sementara itu, Pengarah Urusan AIM, Mohamed Shamir Abdul Aziz pula berkata, badan itu telah meluaskan lagi operasinya kepada 136 pejabat cawangan di bawah seliaan 30 pejabat Wilayah seluruh negara.

MGF17052019_RINA BUKA PUASA MEDIA AIM02
Pengarah Urusan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Mohamed Shamir Abdul Aziz berucap pada Majlis Iftar Ramadan Bersama Media Anjuran AIM di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 17 MEI 2019.

“Ia bagi memastikan hasrat dan sasaran tersebut tercapai yang kemudiannya sampai kepada kumpulan sasar dengan perkhidmatan terbaik,” katanya.

Katanya lagi, prestasi AIM pada suku pertama tahun ini sangat memberangsangkan dengan kemasukan 17,192 sahabat baharu.

“Dengan penyertaan sahabat baharu itu, AIM telah menyediakan kemudahan pembiayaan mikro sehingga RM515.3 juta,” katanya lagi. – MalaysiaGazette