DUBAI – Seorang pencuci warga Afrika dijatuhkan hukuman penjara setahun selepas didapati bersalah menggigit lidah rakannya sehingga mendatangkan kecederaan kekal hampir 15 peratus kepada mangsa di Bur Dubai tahun lalu.

Gulf Today melaporkan, mahkamah juga telah mengarahkan lelaki berusia 25 tahun yang ketika kejadian dibawah pengaruh alkohol dihantar ke negara asal dan tidak lagi dibenarkan bekerja di sini lagi.

Mangsa juga teman serumah ketika memberi keterangan di mahkamah baru-baru ini dalam nada beremosi memberitahu ketika dia sedang mencuci pakaian sebelum dihampiri lelaki itu meminjam telefon bimbitnya.

“Dia kata hendak pakai aplikasi lampu suluh untuk mencari kasutnya, saya kemudian serahkan telefon kemudian keluar supaya dia boleh mencari kasutnya, namun sekembalinya ke bilik itu, dia tidak pulangkan telefon saya.

“Saya jadi marah apabila masuk ke biliknya, dia tidur pula sedangkan dia pinjam telefon untuk cari kasut. Saya cuba bangunkan dia tetapi dia marah dan heret saya pula.

“Dia kemudian cuba peluk dan cium saya pula. Bila saya cuba tolak, dia pegang leher saya, letak tangan di tekak dan gigit lidah saya. Sebahagian lidah saya putus sebelum saya sempat melarikan diri keluar dari bilik itu,” katanya dalam tangisan.

Mangsa kemudian keluar mendapatkan bantuan di Hospital Rashid sebelum tertuduh kemudian ditangkap pihak berkuasa.

Doktor telah meminta bahagian lidah itu untuk dicantumkan semula namun gagal berbuat demikian kerana ia sudah mula mengalami pereputan dan sukar untuk melakukan apa-apa. –MalaysiaGazette