Sidang media Mohamad Ezam pada 17 Mei 2019 selepas menyerahkan permohonan penubuhan parti baharu, Parti Negara di pejabat ROS di Putrajaya.

PUTRAJAYA – Presiden penaja Parti Negara (Negara), Datuk Mohamed Ezam Mohd Nor mahu Tun Dr. Mahathir Mohamad diberi tempoh satu penggal atau sekurang-kurangnya tiga tahun sebagai perdana menteri.

Katanya, jangkamasa dua tahun yang ditetapkan Pakatan Harapan (PH) sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) tidak mencukupi untuk Perdana Menteri itu memperbaiki kerosakan negara yang dilakukan oleh kerajaan terdahulu.

“Kita gesa Dr. Mahathir teruskan memimpin negara dalam tempoh penuh penggal atau setidak-tidaknya tiga tahun. Kita belum yakin lagi dengan pemimpin lain dalam memerangi rasuah.

“Dr. Mahathir perlu lebih masa, dua tahun tidak cukup. Kalau tiga tahun, okey sikit. Tapi, biarlah sampai habis penggal pentadbiran untuk dia memerangi rasuah.

“Kita harap parti komponen PH atau pihak tertentu yang berkepentingan tidak mengganggu Dr. Mahathir buat kerja,” ujarnya pada sidang media selepas menyerahkan permohonan parti baharu, Parti Negara di Pejabat Pertubuhan Pendaftaran Malaysia (ROS) di sini, hari ini.

Ditanya mengenai khabar angin akan berlaku pilihan raya umum dalam tempoh terdekat, Mohamad Ezam berkata, semua itu cakap-cakap orang politik yang terdesak.

Tegasnya, tidak ada sebab Pilihan Raya Umum (PRU) perlu diadakan dalam jangka waktu terdekat kerana negara baharu sahaja selesai mengadakannya dan menyaksikan pertukaran kerajaan.

“Ini perbuatan orang terdesak. Mereka sengaja mahu menjatuhkan imej negara pada jiran dan negara lain dengan menyebarkan khabar angin kononnya kerajaan baharu gagal dan PRU perlu diadakan segera,” katanya. – MalaysiaGazette