Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah
Muhammad Shafee Abdullah

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang kini juga berdepan dengan tiga pertuduhan penggubahan wang haram RM27 juta milik SRC International akan mengemukakan permohonan pembatalan dalam masa terdekat.

Peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memberitahu Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan tiga tuduhan itu sebenarnya tiada asas dengan kesalahan jenayah penggubahan wang haram.

“Sebenarnya Yang Arif, ketiga-tiga pertuduhan itu bukan kesalahan predikat dan kami sedang mempertimbangkan ini secara serius untuk membatalkan tuduhan tersebut.

Ini berkaitan dengan tujuh tuduhan pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram dana RM42 juta SRC, yang tidak boleh dibicarakan sendiri.

“Bagaimanapun, ianya diketepikan dan dibicarakan berasingan. Kami pada bila-bila masa akan failkan permohonan untuk membatalkan tuduhan itu,” katanya pada prosiding pengurusan kes tiga tuduhan pengubahan wang haram itu hari ini.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Budiman, Lutfi Mohamed tidak bersetuju dengan hujah Muhammad Shafee dan mengatakan ia merupakan kes teratur dan sah.

Budiman memohon Mahkamah Tinggi menetapkan tarikh bagi perbicaraan kes berkenaan dengan meminta perbicaraan bermula seawal April 2020, namun Muhammad Shafee meminta ia dimulakan pada Jun.

Hakim Mohamed Zaini menetapkan selama 13 hari, bermula 2 Jun 2020 bagi perbicaraan kes terbabit.

Tarikh itu ialah 2 hingga 4, 9 hingga 11, 15 hingga 18 dan 23 hingga 25 Jun 2020.

Muhammad secara berseloroh berkata, pihaknya bersetuju dengan penetapan tarikh tersebut kerana memerlukan masa untuk pulih dari ‘kecederaan’.

Pihak kami perlu sedikit masa ‘untuk pulih daripada kecederaan’ selepas perbicaraan kes pecah amanah dan pengubahan wang haram dana RM2.28 bilion 1Malaysia Development Bhd (1MDB),” ujarnya.

Pada 8 Februari lalu, Najib didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, atas tiga tuduhan pengubahan wang haram, tetapi kes itu kemudian dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Bagi ketiga-tiga tuduhan itu, Najib didakwa terbabit aktiviti pengubahan wang haram dengan menerima jumlah keseluruhan sebanyak RM27 juta, iaitu hasil aktiviti haram dalam tiga akaun AmPrivate Banking miliknya.

Jika sabit kesalahan, beliau boleh didenda maksimum RM5 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan juga berhadapan dengan tiga tuduhan pecah amanah, satu tuduhan salah guna kuasa dan tiga tuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta. – MalaysiaGazette