Foto Twitter Terengganu Football Club. ‏

KUALA LUMPUR – Bekas pemain skuad kebangsaan, Nafuzi Zain akan membimbing skuad Terengganu FC buat sementara waktu selepas ketua jurulatih pasukan itu, Irfan Bakti Abu Salim meletak jawatan kelmarin.

Sepanjang melatih Terengganu FC, Irfan Bakti telah membawa pasukannya menjuara Piala FA pada tahun 2011, Naib Juara Piala Malaysia dan Naib Juara Liga Super seterusnya layak ke saingan AFC 2012 buat pertama kali dalam sejarah bola sepak negeri itu.

Kembalinya buat kali kedua pada tahun 2017, beliau memastikan Terengganu FC merangkul Naib Juara Liga Premier sehingga membawa pasukan ke Liga Super 2018 serta Naib Juara Piala Malaysia tahun lalu.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Tengku Farouk Husin mengakui pihaknya masih terkejut dengan keputusan Irfan Bakti letak jawatan selepas skuad penyu mengelami kekalahan memalukan kepada Petaling Jaya City FC (PJ City) 3-5 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, pada Selasa lalu serta gagal mara ke separuh akhir Piala FA.

Beliau berkata setakat ini PBSNT masih belum mempunyai calon yang sesuai untuk mengambil alih jawatan berkenaan. – MalaysiaGazette