Suspek utama warga Nigeria bagi kes pembunuhan Ketua Jururawat Hospital Serdang, Siti Kharina Mohd Kamarudin dibawa masuk ke mahkamah bagi mendapatkan tempoh reman di Mahkamah Majistret Sepang, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 17 MEI 2019.

SEPANG – Suspek utama kes bunuh ketua jururawat Hospital Serdang, Siti Kharina Mohd Kamarudin direman 7 hari mula hari ini.

Warga Nigeria itu sebelum ini ditahan di Cheras Sentral pada jam 3.30 petang semalam.

Reman terhadap suspek dikeluarkan Majistret A. Akhiruddin@Boy Acho sehingga 23 Mei ini.

Perintah itu dikeluarkan mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah bagi menjalankan siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Suspek yang dikawal ketat oleh anggota polis kelihatan marah dengan memaparkan wajah bengis apabila dia menjadi tumpuan media.

Semalam Ketua Polis Selangor Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, polis memburu suspek lelaki warga Nigeria dikenali sebagai Aliwajuwom Gilbertalowonle, 30-an, dipercayai saksi penting dalam kes pembunuhan itu.

Tidak lama kemudian, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat sebelum ini berkata, polis berjaya mengesan dan menangkap suspek itu di sebuah kafe tingkat bawah Cheras Sentral, Kuala Lumpur.

Polis turut merampas sebuah telefon bimbit daripada suspek bersama kad sim yang digunakan untuk siasatan lanjut.

Suspek utama warga Nigeria bagi kes pembunuhan Ketua Jururawat Hospital Serdang, Siti Kharina Mohd Kamarudin dibawa keluar ke mahkamah selepas mendapatkan perintah reman 7 hari di Mahkamah Majistret Sepang, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 17 MEI 2019.

Berdasarkan maklumat sumber, suspek dikatakan mengenali mangsa sejak dua tahun lalu.

Sejurus ditahan, suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang, untuk siasatan lanjut.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, dua lagi suspek wanita warga Nigeria berumur 35 tahun dan seorang lelaki warga Pakistan 38 tahun juga telah direman selama tujuh hari bermula semalam membabitkan siasatan sama.

Suspek utama warga Nigeria bagi kes pembunuhan Ketua Jururawat Hospital Serdang, Siti Kharina Mohd Kamarudin dibawa keluar ke mahkamah selepas mendapatkan perintah reman 7 hari di Mahkamah Majistret Sepang, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 17 MEI 2019.

Mayat Siti Kharina, 40, ditemui dalam keadaan sudah mereput di sebuah bilik di sebuah kondominium di Cyberjaya pada petang semalam dengan kesan kecederaan di leher dan dada.

Penemuan ibu kepada tiga anak tersebut terbongkar apabila seorang juruteknik datang untuk membaiki mesin basuh tetapi pintu kondominium tidak dapat dibuka.

Artikel berkaitan: Kes Ketua Jururawat Hilang: Siti Kharina ditemui dibunuh

Mangsa dipercayai telah meninggal dunia lebih daripada empat hari di kondominium yang disewanya.

Siti Kharina dilaporkan hilang pada 8 Mei lalu, kali terakhir dia menghubungi suami serta anak-anaknya untuk memaklumkan kepulangannya bagi mengecat rumah sebagai persiapan menjelang Aidilfitri pada hari yang sama. -MalaysiaGazette