Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof. foto FAREEZ FADZIL, 13 MEI 2019.
Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof. foto FAREEZ FADZIL, 13 MEI 2019.

PUTRAJAYA – Malaysia akan muncul menjadi sebuah negara keusahawanan menjelang tahun 2030, kata Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof.

Beliau menjelaskan, Dasar Keusahawanan Nasional (DKN) yang sedang digubal akan menjadi teras dalam merangka pembangunan keusahawanan negara.

Menurutnya, dasar itu ini akan menggariskan semua objektif dan strategi serta pelan tindakan yang akan dilaksanakan untuk membangunkan sebuah ekosistem keusahawanan merentasi semua bidang industri dan merangkumi setiap peringkat
usahawan.

“Dasar ini juga akan menjadi landasan dalam membentuk Malaysia sebagai sebuah negara berteraskan keusahawanan.

“Penubuhan semula Kementerian Pembangunan Usahawan adalah dengan matlamat untuk menerajui usaha pembangunan keusahawanan di negara ini secara terancang dan bersepadu.

“Ia bagi memastikan hala tuju pembangunan keusahawanan yang
dilaksanakan adalah selari dan seiring dengan hasrat Kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara keusahawanan menjelang tahun 2030,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemubual bersama MalaysiaGazette di kementerian di sini baru-baru ini.

Mohd. Redzuan turut memberitahu dalam tempoh setahun ini, kementeriannya  telah melancarkan dan melaksanakan program-program antaranya 12 siri Konvensyen Usahawan Bumiputera (KUB) di seluruh negara sebagai platform dialog untuk mendapatkan input dan cadangan dalam usaha merangka DKN.

Program lain, katanya, adalah Program Game Changer seperti Fertigreneur (Fertigation Entrepreneurs Pilot Project) iaitu galakan keusahawanan dalam bidang tanaman fertigasi yang dilaksanakan dengan kerjasama peladang, sektor swasta dan agensi-agensi di bawah kementerian.

“Turut diadakan Halal Gelatine Hub bagi membangunkan hab antarabangsa untuk penghasilan gelatin halal di Malaysia dengan kerjasama Jakim, Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan Kerajaan
Australia.

“Selain itu program Air Mobility Project Development merupakan antara bidang keusahawanan baharu yang berpotensi tinggi di
pasaran tempatan dan antarabangsa terutama dalam sektor
infrastruktur, keselamatan, pertanian dan lain-lain.

“Pada masa sama, National SME Digital Platform diwujudkan sebagai pangkalan data usahawan dan perusahaan kecil sederhana yang lengkap dan bersepadu bagi membantu perancangan dan pelaksanaan program-program pembangunan keusahawanan.

“Platform ini akan dibangunkan menggunapakai aplikasi Artificial Intelligence (AI) dengan kerjasama di antara SME Bank dengan Bank Negara Malaysia, Jabatan Perangkaan Malaysia serta pihak-pihak lain yang berkaitan,” katnaya.

Mohd. Redzuab menambah, program Jom Sembang Usahawan 2019 yang dilancarkan sempena promosi keusahawanan koperasi merupakan platform maklumat kepada komuniti koperator dan para usahawan dalam membudayakan bidang keusahawanan.

Ujarnya, program itu akan turut diadakan di seluruh negeri di Malaysia. – MalaysiaGazette