KUALA LUMPUR – Belum pun reda isu Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), umat Islam hari ini digemparkan pula dengan setem tempatan yang dicetak menggunakan gambar gereja.

MalaysiaGazette dimaklumkan setem berkenaan yang dicetak dengan nilai 80 sen setiap satu tular di media sosial sejak semalam dan ia mendapat kecaman pelbagai pihaknya khususnya orang Islam sendiri.

Setem dengan motif rumah ibadat menggunakan gambar sebuah gereja dipercayai terletak di Pulau Pinang.

Ia turut dikongsikan Pengerusi Gerakan Pembela Ummah, Aminuddin Yahya di akaun Facebook, semalam sambil mendakwa ia dikeluarkan oleh Pakatan Harapan (PH).

“Tindakan mengeluarkan setem berkenaan selari dengan konsep Rahmatan Lil Alami (Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad S.A.W itu merupakan rahmat untuk seluruh alam),” katanya dalam paparan terbaru di akaun Facebooknya, semalam.

Aminuddin selaku Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) dilihat cuba menimbulkan kontroversi dengan isu setem terbabit sambil menyifatkan tindakan itu sebagai membuli umat Islam di negara ini.

“Mungkin kita hendak menarik pelancong agaknya atau sudah habis idea untuk lakar apa.

“Jadi kalau ada orang luar label Malaysia sebagai negara Kristian esok, kita janganlah marah sebab memang kita dah ‘potray’-kan demikian.

“Satu lagi bentuk ‘buli’ kepada umat Islam,” katanya lagi. – MalaysiaGazette