Kementerian Pendidikan Malaysia

PETALING JAYA – Kerajaan mempertimbangkan untuk melonggarkan syarat pengambilan matrikulasi untuk membolehkan lebih ramai pelajar kumpulan B40 untuk melanjutkan pelajaran.

Sumber Kabinet memberitahu Sinchew Daily, Kementerian Pendidikan sedang mengumpulkan maklumat pelajar cemerlang kumpulan B40 yang tidak menerima tawaran matrikulasi supaya rancangan khusus diwujudkan untuk mereka.

Para menteri dilaporkan telah membangkitkan isu pelajar B40 dalam mesyuarat Kabinet lalu, tetapi perbincangan mengenainya ditunda sehingga Rabu ini kerana Menteri Pendidikan, Maszlee Malik cuti sakit minggu lepas.

“Isu ini memang ada dibincangkan, tetapi biarlah Menteri Pendidikan yang umumkan,” kata sumber.

Sumber itu bagaimanapun menjelaskan bahawa B40 adalah merangkumi semua kaum, tidak kira bumiputera atau bukan bumiputera.

Jemaah Menteri pada 24 April lalu mengumumkan bahawa kuota bumiputera untuk matrikulasi ditetapkan pada 90 peratus, tetapi menambahkan tawaran pengajian daripada 25,000 kepada 40,000.

Sebelum ini, Pemuda MCA menerima 102 aduan mengenai pelajar cemerlang keturunan Cina yang gagal memasuki matrikulasi.

Daripadanya, 52 orang daripada keluarga B40, 42 orang daripada M40 dan lapan orang daripada T20.

Selari dengan pertambahan tempat pengajian, 29 pengadu telah diterima ke matrikulasi.

Keadaan itu bermakna 48 orang pengadu masih ditolak tempat pengajian di matrikulasi manakala 24 orang lagi berstatus “menunggu” dan seorang lagi “tiada rekod” . – MalaysiaGazette