Usahawan Ayam Segar SR Global Development Sdn Bhd, Doktor Syed Luqman Syed Alwi menyerahkan ayam segar sebagai bantuan makanan kepada seorang ibu, Marsyila Zakaria yang kesempitan hidup bersama 6 orang anak di PPR Desa Tun Razak Bandar Tasik Selatan, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 18 MEI 2019

KUALA LUMPUR – Kisah keperitan suri rumah Marsyila Zakaria, 35, bersama tujuh anaknya yang terpaksa berlapar dan hanya makan nasi berlaukkan garam sejak setahun lalu mendapat perhatian seorang usahawan.

Usahawan berkelulusan doktor perubatan yang juga ahli perniagaan ayam kampung dan ayam segar, Dr Ku menyatakan kesediaan untuk menawarkan pekerjaan kepada ibu malang itu meraih pendapatan dari rumah.

Walaupun kesempitan hidup, rezeki halal datang daripada pelbagai cara yang tanpa diduga sekiranya seseorang ikhlas untuk mengubah hidup.

Pengasas dan Pengarah Urusan SR Global Development, Dr Syed Luqman Syed Alwi yang prihatin dengan nasib Marsyila ‘turun padang’ untuk melihat sendiri kediaman wanita itu di Projek Perumahan Rakyat Desa Tun Razak Bandar Tasik Selatan.

“Saya pernah melihat dan menghulurkan bantuan kepada ramai fakir miskin sebelum ini.

“Tetapi kali pertama dalam hidup saya melihat ibu anak tujuh yang kelaparan sehingga makan nasi berlaukan garam sahaja ataupun telur hancur, saya terkejut baca berita itu dalam MalaysiaGazette yang akhirnya menemukan saya bersama keluarga ini sekarang,” katanya.

MGF18052019_PPIM MENYERAHKAN BANTUAN 11
Usahawan Ayam Segar SR Global Development Sdn Bhd, Doktor Syed Luqman bercakap kepada media selepas selesai menyerahkan bantuan makanan dan bantuan kewangan kepada seorang ibu, Marsyila Zakaria yang kesempitan hidup bersama 6 orang anak di PPR Desa Tun Razak Bandar Tasik Selatan, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 18 MEI 2019

Syed Luqman berkata, beliau memahami keadaan suri rumah itu sukar bekerja disebabkan tiada orang jaga anaknya.

Berikutan itu, beliau mencadangkan Marsyila menjadi ejen bekalan dan jualan ayam kampung produk keluaran syarikatnya itu.

“Puan Marsyila mungkin boleh dilatih menjadi usahawan mewakili syarikat saya sebagai ejen pembekal dan penjual ayam kampung di PPR ini kepada penduduk sekitar sini.

“Lebih 70 paket ayam bervakum yang dibekukan dan sebungkus ayam mampu menjana keuntungan sehingga RM4 atau RM5.

“Pembungkusan ayam saya ini guna vakum dan dibekukan kemas sehingga mampu bertahan dua tahun dan jika kakak ini disediakan bekalan ayam dan peti sejuk (freezer) besar, saya rasa akan bantu dia jana pendapatan dari rumah.

“Saya akan cuba berbincang dengan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) cara dan kaedah untuk menguruskan rancangan ini, sekali gus membela nasib ibu malang ini supaya dia bekerjaya,” katanya kepada MalaysiaGazette.

MGF18052019_PPIM MENYERAHKAN BANTUAN 07
Marsyila Zakaria tidak dapat menahan kesedihan sewaktu menceritakan tentang kesempitan hidup bersama 6 orang anaknya di PPR Desa Tun Razak Bandar Tasik Selatan, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 18 MEI 2019

Menurutnya, beliiau sanggup memberi bekalan ayam untuk keperluan harian ibu itu sekeluarga setiap minggu mengikut keperluan mengelak dibazirkan.

Syed Luqmanyang pernah mengamalkan khidmat perubatan sebelum berkecimpung sepenuhnya dalam pembekalan ayam berkata, beliau tersentuh dengan keadaan anak perempuan wanita itu yang difahamkan menghidapi autisme.

“Saya rasa anak ini kekurangan zat besi dan protein yang mengakibatkan dia selalu lari dan terhantuk kepala di dinding.

“Ayam kampung ini baik untuk anak anak autisme memberi protein dan zat bezi yang diperlukan, saya juga bersedia untuk berikan telur ayam mengikut keperluan anak autisme ini,” katanya selepas menghulurkan sumbangan ayam segar dan ayam kampung yang siap dibersihkan dan dibekukan untuk keperluan keluarga itu. – MalaysiaGazette