KUALA LUMPUR- Perkhidmatan penghantaran mesej segera, Whatsapp mengumumkan tidak lagi memberi sokongan kepada beberapa sistem operasi telefon bimbit versi lama bermula tahun hadapan.

Syarikat tersebut dalam laman Soalan-Soalan yang Kerap Ditanya (FAQ) di laman webnya memaklumkan, pengguna-pengguna Android versi 2.3.7 dan lebih lama serta iOS 7 ke bawah tidak lagi boleh membuka akaun baharu dan verifikasi semula akaun sedia ada.

Syarikat tersebut juga mengumumkan tidak lagi menyokong kesemua versi yang tidak disambung dalam sistem operasi Windows Phone.

Katanya, para pengguna tidak lagi boleh menggunakan aplikasi berkenaan selepas 31 Disember tahun ini.

Dalam laporan terkini FAQ,  Whatsapp berkata, aplikasi itu ketika ini hanya menyediakan sokongan kepada Android 4.0.3 dan terbaharu, iOS 8 dan terbaharu, Windows Phone 8.1 dan terbaharu serta telefon-telefon pintar yang menggunakan KaiOS 2.5.1 dan terbaharu.- MalaysiaGazette