Pemain-pemain Kedah meraikan kemenangan selepas menewaskan Pahang pada aksi Liga Super dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Darul Aman, Alor Setar, malam tadi.

KUALA LUMPUR – Kedah kembali menemui sentuhan kemenangan apabila memanfaatkan aksi di laman sendiri selepas bangkit daripada ketinggalan, sebelum membenam Melaka 2-1 pada aksi Liga Super di Stadium Darul Aman, Alor Setar, malam tadi.

Gol kemenangan hasil jaringan sendiri pertahanan Melaka, Jang Suk Won pada minit ke-71 memastikan skuad Lang Merah mengumpul 22 mata untuk mengatasi Selangor di kedudukan ketiga, selain memberi tekanan kepada Pahang yang mengumpul 25 mata di tangga kedua.

Namun, pada perlawanan itu, Melaka yang tidak tewas dalam empat aksi sebelum ini, terlebih dahulu di hadapan hasil jaringan bekas penyerang skuad Bawah 21 Tahun Serbia, Luka Milunovic pada minit ke-31, sebelum kapten pasukan Kedah, Baddrol Bakhtiar menyamakan kedudukan pada minit ke-61.

Finalis Piala Malaysia 2018, Terengganu FC (TFC) pula terpaksa berpuas hati sekadar membawa pulang satu mata selepas terikat 1-1 berdepan Felda United di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka.

Pemain yang baru sahaja menyarung jersi skuad Penyu, Mohamad Nabil Ahmad Latpi meledak gol keduanya dalam saingan musim ini pada minit ke-83, namun Felda United berjaya menyamakan kedudukan lima minit kemudian menerusi pemain import dari Jepun, Kei Ikeda.

Juara dua kali Liga Super, Selangor turut mengalami nasib sama apabila terikat 1-1 menentang PKNP FC di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, selepas gol pembukaan pemain import dari Nigeria, Ifedayo Olusegun pada minit ke-29 dinafikan pada minit ke-47, menerusi gol penyamaan oleh G. Mugenthirran.

Dalam pada itu, aksi Liga Premier menyaksikan jaringan Mohd Nazrin Syamsul pada minit ke-85, membolehkan Universiti Teknologi Mara (UiTM) merampas kedudukan selaku pendahulu selepas mengatasi Sarawak 2-1 di Stadium UiTM Shah Alam.

Bagaimanapun, Sarawak terlebih dahulu membuka tirai jaringan seawal minit kedua menerusi Bobby Gonzalez sebelum pemain import, Zarko Korac menyamakan kedudukan pada minit ke-28.

Pasukan di kedudukan kedua, Johor Darul Ta’zim II (JDT II) terus buntu meraih kemenangan, apabila gagal menyaingi kehebatan Pulau Pinang selepas tewas 0-2 di laman sendiri.

Pada aksi di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang itu, dua gol Pulau Pinang dijaringkan Sergio Fabian Aguero pada minit ke-33, sebelum Anselmo Arruda Da Silva menggandakan jaringan untuk mengesahkan kemenangan skuad Harimau Kumbang.

Dalam pada itu, Negeri Sembilan meneruskan rentak cemerlang selepas mencatat kemenangan selesa 3-1 menewaskan Kelantan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

Tiga gol skuad bimbingan jurulatih berpengalaman, Mohd Zan Mat Aris itu, masing-masing dijaringkan Jose Almir Barros Neto seawal minit keempat dan Igor Carneiro Luzi (minit ke-25 dan 27’) sementara gol sagu hati Kelantan disumbangkan pemain muda kebangsaan, Nik Akif Syahiran Nik Mat pada minit ke-67. – MalaysiaGazette