Lim Kit Siang
Lim Kit Siang

KUALA LUMPUR – Lim Kit Siang mendakwa kempen ‘Malu Apa Bosku’ melanggar melanggar prinsip kelima Rukun Negara iaitu Kesopanan dan Kesusilaan.

Selain itu, ia turut memberi cabaran kepada Pelan Anti Rasuah Kebangsaan 2019-2023 dan halangan kepada misi untuk mengubah Malaysia daripada kleptokrasi global dalam menuju sebuah negara yang berintegriti.

Dakwanya, kempen “Malu Apa Bossku’ yang dilancarkan pada Januari lalu oleh cybertrooper Najib tanpa sedikit pun rasa malu dan malang sekali ia berjaya menawan sebahagian rakyat.

Sehinggakan kempen “Malu Apa Bossku” dengan disokong oleh UMNO-PAS, MCA dan MIC di Semenanjung Malaysia dan PBS serta parti pembangkang lain di Sabah dan GPS di Sarawak, lantas mencatatkan kemenangan dalam Pilihan Raya Kecil di Cameroln Highlands, Semenyih dan Rantau.

Kit Siang turut mendakwa kempen itu menyebabkan ahli-ahli Parlimen pembangkang menyekat kelulusan rang undang-undang pindaan perlembagaan untuk Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan sedangkan ia merupakan satu daripada lima janji teras Pakatan Harapan dalam manifesto PRU ke-14 lalu iaitu “mengembalikan status Sabah dan Sarawak seperti yang dipersetujui dalam Perjanjian Malaysia 1963”.

Katanya, kempen “Malu Apa Bossku” hanya bertahan lima bulan sahaja kerana ia kecundang dalam PRK di Sandakan pada 11 Mei lalu.

Pendedahan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan penahanan Datuk Seri Najib Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor, menteri-menterinya seperti Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, pemimpin UMNO seperti bekas Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman dan Tan Sri Isa Samad dan orang-orang kanan Najib seperti Arul Kanda Kandasamy, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah dan Tan Sri Muhammad Shafie Abdullah bukti keseriusan Malaysia menghapuskan sebuah kleptokrasi global.

Namun, kata Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu, ia tidak mencukupi untuk menubuhkan Malaysia sebagai negara model integriti untuk diletakkan dalam Senarai 20 teratas dalam Indeks Tahunan Persepsi Rasuah Antarabangsa Transparency.

Malaysia, katanya, berada pada kedudukan ke-62 berbanding 23 dalam siri 23 tahun indeks itu dari tahun 1996 hingga 2018. – MalaysiaGazette