KUALA LUMPUR – Sebuah papan iklan milik Affin Bank Bhd (Affin Bank) menjadi bahan sinis pelayar Internet apabila aksi dua lelaki yang dipaparkan pada papan iklan itu dilihat memberi maksud lucah.

Ada dalam kalangan netizen pula mentafsir aksi dua individu pada papan iklan tersebut sebagai mempromosikan ‘gay’ ekoran gaya ditunjukkan memberi gambaran yang boleh dianggap sedemikian.

Ada juga yang menyifatkan penampilan dua lelaki pada gambar berkenaan seperti satu perbuatan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) yang sememangnya tidak diamalkan di negara ini.

Gambar papan iklan itu dikongsi seorang pengguna Facebook, Ab Jalil Backer yang dipercayai diambil di Stesen MRT, di Bukit Bintang.

Berdasarkan posting yang dimuat naik, Ab Jalil menulis; Keperluan korporat anda dipenuhi Affin Bank.

“Geli tengok gambar iklan ini berserta slogan “memberi dan memenuhi keperluan”. Malaysia baharu,” tulisnya.

Posting tersebut kemudiannya menerima banyak komen daripada pengguna laman sosial berkenaan dengan ada yang mempersoalkan kewajaran Affin Bank menggunakan gambar aksi dua lelaki seperti itu.

“Aduiiii, ini bikin malu nak ngaku kerja bawah Affin Holding ni,” komen Cik Puan Wan Kuntum.

Jamilah Malek turut memberikan reaksinya dengan menulis, “Ohh iklan gay boy ke ni?

Seorang lagi pengguna Facebook, Coki Cebob pula berkata, “Lain macam pula gambarnya..meremang bulu tengkuk..geli pun ada gak,” tulisnya.

Sementara itu, Md Hashim pula memberikan komen yang berbeza apabila mahu rakan-rakan laman sosialnya berfikiran positif di bulan Ramadan.

“Kita berfikiran positif bulan ramadan ni. Dia tengah ukur baju tu. Almaklum la raya dah dekat,” ujarnya. – MalaysiaGazette