KUALA LUMPUR – Pengerusi DAP Jerantut hari ini ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes ugutan jenayah Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintendan Mazlan Hassan pada Khamis lalu.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Mohd Zakaria Ahmad berkata, Loo Why Leong ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jerantut jam 3 petang selepas dipanggil bagi memberi keterangan.

“Kita panggil dia untuk bantu siasatan berhubung ugutan menerusi aplikasi Whatsapp yang dilakukannya terhadap OCPD (ketua polis daerah) baru-baru ini.

“Why Leong kemudiannya dibebaskan dengan jaminan polis selepas kita selesai merekodkan keterangannya,” katanya dipetik sebagai berkata.

Mazlan membuat laporan polis pada Jumaat lalu selepas menerima mesej berbaur ugutan daripada Why Leong melalui aplikasi Whatsapp yang dipercayai berpunca daripada operasi polis terhadap penjualan minuman keras tanpa lesen di daerah berkenaan.

Mohd Zakaria berkata, pihaknya turut merampas telefon bimbit Why Leong bagi tujuan melengkapkan siasatan.

Dalam pada itu, Datuk Seri Najib Razak menerusi Facebook beliau mendakwa mesej yang dihantar oleh Why Leong berbunyi:

“SESIAPA NAK LAWAN PH, AKAN DATANG DIA PUN TAK BOLEH AMAN”.

Lantaran itu, bekas perdana menteri berkata, adakah DAP berani untuk menafikan perkara tersebut. – MalaysiaGazette