KUALA LUMPUR – Honda Malaysia (Honda) memperkenalkan warna hitam bagi ruangan kabin untuk model HR-V RS.

Pertukaran daripada warna ivory atau gading berikutan maklum balas daripada pelanggan selepas model SUV facelift diperkenalkan di pasaran tempatan.

Perubahan warna ini melibatkan bahagian tempat duduk balutan kulit upholstery, konsol tengah dan kemasan panel papan pemuka termasuk panel pintu. Walau bagaimana pun, ia tidak melibatkan peningkatan kosmetik untuk bahagian lain.

HR-V RS adalah berasaskan varian Grade V dan ditambah beberapa ciri luaran termasuk gril hadapan yang lebih sporty dan lampu hadapan LED penuh jenis reflektor, serta rekaan baharu pada bampar hadapan dan perumah lampu kabus LED.

Bahagian belakang turut menerima perubahan menampilkan kemasan krom baharu merentangi pintu tailgate bersama lampu belakang dengan grafik LED jenis tiub.

honda2

Menurut Honda, ia turut memperkenalkan elemen kontras yang lebih gelap seperti pemegang pintu krom gelap, krom hitam pada kemasan nombor pendaftaran dan juga hitam kilat pada kemasan bendul sisi.

Selain itu, ia juga dipadankan dengan rim 18-inci dua-tona lima-jejari dan dibaluti tayar 225/50R18.

Varian RS ini dijana enjin 1.8 liter SOHC i-VTEC berkuasa 142 PS pada 6,500 rpm dan tork 172 Nm pada 4,300 rpm, selain dipadankan bersama kotak gear CVT automatik memacu hanya roda hadapan. Ia juga didatangkan dengan sistem stereng nisbah bervariasi (VGR).

Bagi sistem keselamatan pula, ia didatangkan dengan enam-beg udara, Isyarat Berhenti Kecemasan (ESS), Bantuan Kestabilan Kenderaan (VSA) serta bantuan mula mendaki, iaitu ciri standard bagi barisan HR-V facelift di Malaysia.

Katanya, versi RS juga mempunyai lebih fungsi dengan penambahan sistem kamera titik buta Honda LaneWatch.

Tetapi, sistem Brek Kecemasan Aktif Bandar (CTBA) masih belum dibekalkan untuk mana-mana varian HR-V di Malaysia.

hrv
HR-V-RS warna Passion Red Pearl,

HR-V-RS ditawarkan tiga warna pilihan – Passion Red Pearl, White Orchid Pearl dan Modern Steel Metallic pada harga atas jalan RM124,800, tanpa insurans.

Setakat ini, lebih 12,200 unit tempahan yang telah diterima sejak dilancarkan pada Januari lalu dan sehingga kini lebih 7,000 unit telah dihantar kepada pelanggan, yang mana 20% daripadanya adalah daripada varian RS. – MalaysiaGazette