Yang di-Pertua Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Wilayah Persekutuan (PPPKMWP), Datuk Mohamad Abdullah (tengah) dan Ketua Persatuan Peniaga Kecil Wilayah Persekutuan Cawangan Kampung Pandan, Mohd Sharif Hashim (empat kanan) serta yang lain pada sidang media mengenai perbalahan tapak niaga antara peniaga persatuan dan peniaga berdaftar online DBKL di Desa Pandan, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 20 MEI 2019

KUALA LUMPUR – Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Wilayah Persekutuan (PPPKMWP) hari ini menganggap isu keluhan lebih 80 peniaga Bazar Ramadan Desa Pandan kini berjaya diselesaikan.

Sebelum itu, mereka mendakwa mengalami kerugian teruk berikutan lokasi yang baharu disediakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kurang dikunjungi pelanggan selesai.

Menurut Yang Dipertuanya, Datuk Mohamad Abdullah, pihak PPPKMWP bersetuju untuk bekerjasama dengan para peniaga-lain yang mendaftar secara online dan bukan dengan persatuan untuk membuka laluan di kawasan itu.

Ini bagi membolehkan pengunjung sampai ke kawasan baru yang digazetkan oleh pihak DBKL.

“Menteri Wilayah Persekutuan buat keputusan bahawa semua kawasan tradisi akan dikembalikan kepada persatuan-persatuan yang menganjurkan bazar Ramadan.

“Jadi seruan menteri telah disambung baik oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur dan memberi kepada kami supaya bersama-sama menganjurkan Bazar Ramadan kepada tapak-tapak tradisi,” katanya dalam satu sidang media di Bazar Ramadan itu, hari ini.

Beliau menjawab kemelut yang dibawa oleh sekumpulan peniaga bazar ramadan Desa Pandan yang berdaftar secara atas talian dengan pihak DBKL mendakwa mereka ditipu dan dianak tirikan oleh pihak DBKL.

Mengulas mengenai itu, Mohamad berkata, pihaknya sedia untuk mengadakan perbincangan dengan bersama pihak peniaga yang tidak berpuas hati dan juga dengan DBKL.

“Kita perlu sama-sama berfikir pada tahun-tahun yang ke hadapan sebagai proses pengajuran bazar ramadan ini menjadi lebih lebih berketrampilan dan menjadikan banyak pihak berpuas hatilah.

“Ada dalam konsep perniagaan yang ada untung ada rugi biasalah, jadi saya rasa dalam kawasan ini kita ada lebih kurang 270 keseluruhan yang diurus tadbir dan diluluskan oleh DBKL ada persatuan lain seperti persatuan bumiputera dan pihak penganjur yang lainnya.

Dalam pada itu, Ketua Persatuan PPPKMWP Cawangan Kampung Pandan, Mohd Sharif Hashim, kecewa dengan tindakan peniaga tersebut yang menuduh persatuan itu memberikan rasuah kepada DBKL.

Menurut beliau, tapak tersebut diberikan kebenaran untuk berniaga oleh DBKL dua hari sebelum Ramadan dan tuduhan persatuan memberikan rasuah kepada DBKL adalah tuduhan tidak berasas.

“Ini tuduhan keterlaluan kepada pihak DBKL dan persatuan.

“Masa mereka panggil media kata bahawa tapak ini kepunyaan mereka, ini salah kerana lebih 10 tahun persatuan yang kendalikan tapak ini,” katanya dalam sidang media sama.

Jumaat lalu, kesemua 80 mendakwa kewujudan peniaga Persatuan Penjaja Desa Pandan secara tiba-tiba di tapak tradisi itu mengundang persoalan dalam kalangan mereka.

Akibat kewujudan gerai Persatuan Penjaja itu, mereka mengalami kerugian yang teruk sejak hari pertama. -MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Peniaga bazar Ramadan Desa Pandan diganggu gerai haram milik persatuan