Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow

KEPALA BATAS – Kerajaan Negeri Pulau Pinang sentiasa menerima maklumbalas dan meneliti cadangan daripada semua pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang membantah projek tambakan laut di perairan selatan Pulau Pinang (PSR).

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, pihaknya bersama pemaju projek PSR berbincang segala cadangan dan bantahan yang diberikan sebelum mengambil tindakan mitigasi berhubung isu-isu yang dibangkitkan.

“Sepanjang masa Kerajaan Negeri memang menerima pelbagai maklum balas dan cadangan berhubung projek itu. Kami sentiasa ambil tindakan yang sesuai bagi mengatasinya,” katanya kepada pemberita selepas hadir Penyampaian Hamper Hari Raya Aidilfitri, di sini hari ini.

Pada majlis itu, seramai 600 penerima daripada Dewan Undangan Negeri Pinang Tunggal, Bertam dan Teluk Air Tawar menerima hamper barang keperluan.

Chow berkata demikian bagi mengulas bantahan yang dibuat 15 NGO berhubung projek PSR yang mendakwa projek itu bukan sahaja menjejaskan alam sekitar serta hidupan marin di negeri ini malah melibatkan kawasan laut di Perak Utara.

Mengulas lanjut, Chow berkata, pihaknya juga menjangkakan lebih banyak isu berbangkit akan ditimbulkan ketika projek PSR dijalankan nanti dan Kerajaan Negeri bersedia meneliti semua isu berkenaan.

“Selepas projek itu diluluskan, saya boleh jangkakan banyak lagi isu akan timbul jadi pada peringkat itu kita perlu dengar apa masalah masyarakat setempat seperti gangguan daripada projek PSR berkenaan. Pasukan kita kena dengar masalah yang timbul ini,” katanya.

Selain pasukan khas bagi memberi penjelasan dan membantu nelayan, Kerajaan Negeri juga akan menubuhkan beberapa buah pasukan khas lain selepas ini yang antaranya berhubung pampasan, penempatan dan kemudahan baru kepada mereka terlibat.

Projek PSR dirangka Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk membiayai kos Pelan Induk Pengangkutan (PIP) dianggarkan bernilai RM49 bilion bagi membendung masalah kesesakan lalu lintas di negeri ini.

Pelaksanaan PSR membabitkan projek pembangunan tiga pulau buatan berkeluasan 1,700 hektar, yang dijangka mampu menyaingi Marina Bay di Singapura.

Sementara itu pada majlis yang sama, Kerajaan Negeri Pulau Pinang mahu Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) menaiktaraf kemudahan dan infrastruktur di kawasan berkenaan selari dengan status bandaraya yang akan diberikan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu.

Chow berkata, Kerajaan Negeri akan sentiasa membantu MPSP supaya mutu perkhidmatan terbaik dapat diberikan kerana telah mendapat status bandaraya.

“Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan kerana dalam masa singkat setelah permohonan dibuat tahun lepas mereka telah meluluskan MPSP menjadi sebuah bandaraya seperti Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) pada tahun 2015.

“Maka dengan pengiktirafan itu saya percaya kita telah memenuhi syarat-syarat tetapi ini juga cabaran kepada Kerajaan Negeri kerana ekspetasi penduduk, cukai akan meningkat sebab kita hidup dalam bandaraya,” katanya.

Selepas dinaik taraf sebagai bandaraya MPSP perlu meningkatkan mutu perkhidmatan, menambahbaik penyampaian projek dan perkhidmatan pembayar cukai kerana itulah aspirasi serta harapan rakyat.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin semalam dilaporkan berkata kabinet telah meluluskan permohonan penaiktarafan MPSP kepada Majlis Bandaraya selepas Hari Raya Aidilfitri. – Bernama