KOTA BHARU – Konsortium E-Mutiara Berhad (E-Mutiara) memberi jaminan 180 pemandu bas syarikat berkenaan adalah bebas daripada segala penyalahgunaan bahan terlarang khususnya dadah.

Pengerusi Eksekutif E-Mutiara Che Ibrahim Che Ismail berkata, pihaknya sentiasa membuat ujian khas termasuk air kencing bagi memastikan setiap pemandunya yang berusia antara 25 hingga 60 tahun bebas dan bersih daripada bahan terlarang.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Zakat kepada Duafa dan Iftar Jamaie bersama rakan niaga di ibu pejat E-Mutiara yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan, Mahasan Mustapha serta Pengarah Pentadbiran dan Undang-Undang E-Mutiara, Naemah Yaacob di sini malam tadi.

Sementara itu, Che Ibrahim berkata pihaknya akan menambah 20 bas untuk Ramadan berbanding 15 bas pada masa sekarang.

“Sekarang ada 15 buah bas beroperasi pada waktu malam dan lapan buah pada siang hari. Bagi laluan puncak iaitu Kuala Lumpur-Kota Bharu kita mungkin akan menambah sehingga lima buah bas lagi dan laluan lain mungkin tidak banyak tambahan bas.

“Selain itu, kita juga mahu menasihatkan orang ramai supaya membeli tiket bas di syarikat yang diyakini kerana bimbang ditipu. Jangan sesekali membeli tiket sembarangan kerana tiket yang dibeli daripada sumber tidak sah boleh menyebabkan kesulitan kepada mereka sendiri,” katanya.

Mengenai majlis itu, beliau berkata seramai 271 individu terpilih menerima zakat daripada Konsortium E-Mutiara Berhad dan syarikat itu juga akan menaja lapan kakitangannya yang berkhidmat selama 17 hingga 23 tahun menunaikan umrah tahun ini.- BERNAMA