Tony Pua

Kenyataan Media oleh Setiausaha Politik Menteri Kewangan dan Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua.

Pada tahun lalu, Menteri Kewangan Lim Guan Eng melaporkan bahawa Malaysia bagi tempoh Januari hingga September 2018 telah mencatat kelulusan pelaburan langsung asing (FDI) yang
sangat memberangsangkan.

Jumlah yang diluluskan pada ketika itu adalah RM49 bilion,
berbanding hanya RM14 bilion dalam tempoh yang sama pada tahun 2017 dan ia merupakan peningkatan sebanyak 250 peratus.

Statistik ini diterbitkan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan
Malaysia (MIDA) di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Bagaimanapun, Dato Seri Najib Razak telah mempertikaikan statistik-statistik tersebut di laman Facebooknya pada 1 Disember 2018 dan sebaliknya memetik angka FDI yang direalisasikan terbitan Jabatan Perangkaan Malaysia.

Beliau kemudian mengutuk pencapaian kerajaan Pakatan Harapan kerana kononnya, FDI telah menurun akibat perubahan kerajaan.

Seperti yang telah dijelaskan sebelum ini, jumlah FDI yang direalisasikan pada tahun 2018 menurun kerana jumlah permohonan dan kelulusan FDI bagi tahun 2017 telah jatuh.

Apabila jumlah yang diluluskan menurun pada 2017 semasa pimpinan Najib sendiri, maka pastilah jumlah yang dapat direalisasikan pada tahun seterusnya turut jatuh.

Oleh demikian, akibat penurunan 7.3% FDI yang diluluskan pada tahun 2017, jumlah FDI yang direalisasikan pada
tahun 2018 telah jatuh ke paras terendah sejak 2012.

Akan tetapi selepas perubahan kuasa di mana Pakatan Harapan diamanahkan untuk menjadi kerajaan, minat pelabur antarabangsa terhadap Malaysia telah meningkat.

Jumlah FDI yang diluluskan pada tahun 2018 mencatat pencapaian yang terbaik dan akan membolehkan FDI
yang direalisasikan naik pada tahun ini dan tahun depan.

Oleh itu, Guan Eng boleh menyatakan bahawa FDI yang direalisasikan pada suku tahun pertama 2019 adalah jumlah yang tertinggi dalam sejarah bagi satu suku, di mana ia meningkat sebanyak 94.8% ke RM21.7 bilion berbanding RM11.2 bilion bagi suku yang sama tahun 2018.

Kini, Najib berpusing-pusing dan mempertikaikan pula angka FDI tersebut bahawa ia tidak mencerminkan FDI sebenar.

Saya nak tanya Najib, mengapakah dalam bulan Disember lalu,
angka yang diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan boleh digunakan sebagai angka pelaburan yang tepat tapi apabila Menteri Kewangan memetik daripada statistik yang sama, ia pula
bukan FDI?

Najib merengek bahawa sebahagian daripada peningkatan FDI yang direalisasikan adalah berpunca kepada “penjualan aset” iaitu, pembelian sebahagian daripada saham syarikat IHH
Healthcare Bhd oleh syarikat terkemuka Jepun, Mitsui & Co Ltd daripada Khazanah Nasional
Bhd.

Aduhai…. takkanlah bekas Menteri Kewangan tidak faham bahawa pembelian saham IHH yang disenaraikan di Bursa Malaysia merupakan satu pelaburan yang besar dan penting
kerana ia menunjukkan keyakinan dan kepercayaan pelabur asing kepada syarikat dan ekonomi Malaysia?

Pada tahun 2017 semasa pimpinan Najib, Petronas juga telah menjual 50% daripada pegangan sahamnya dalam projek Refinery and Petrochemical Integrated Development (RAPID) di Pengerang kepada syarikat Saudi Aramco milik Arab Saudi dengan nilai US$7 bilion.

Malah, Laporan Tahunan Program Transformasi Nasional yang dilancarkan Najib sendiri pada bulan Mac 2018 meraikan penjualan saham Petronas untuk projek RAPID kepada Saudi
Aramco dengan menyatakan ia adalah aliran masuk FDI yang paling besar dalam sejarah negara.

Adakah Najib kini mahu mempertikaikan ‘pencapaian’ beliau sendiri pada ketika itu dan mungkin bersetuju bahawa beliau merupakan Menteri Kewangan yang paling teruk di rantau
Asia, seperti yang dinobatkan oleh majalah FinanceAsia?

Hakikatnya, tafsiran FDI yang diguna pakai sekarang adalah sama sejak dahulu. Ia juga adalah satu tafsiran antarabangsa diterangkan dalam Balance of Payments and International
Investment Position Manual terbitan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

Secara jelas, pendirian dan kenyataan Najib yang berputar-belit dan bercanggah-canggah membuktikan bahawa beliau bukan sahaja tidak jujur, tetapi hanya berniat jahat untuk terus
menipu rakyat.

FDI yang masuk pada suku pertama 2019 adalah pelaburan yang berkualiti tinggi yang diterima untuk meningkatkan kemahiran dan teknologi tempatan melalui perkongsian kepakaran dalam pelbagai bidang nilai tambah tinggi.

Peningkatan ini penting bagi memastikan Malaysia keluar daripada perangkap pendapatan sederhana (middle-income
trap), iaitu suatu matlamat yang gagal dicapai oleh Najib selama sedekad berkuasa.-MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.