Bursa Malaysia ringgit
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia dibuka tinggi namun susut kemudiannya berikutan ketidaktentuan pasaran yang terus berlanjutan akibat perang perdagangan Amerika Syarikat-China.

Pada 9.06 pagi, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 0.77 mata kepada 1,604.59 selepas dibuka menokok 3.38 mata kepada 1,608.74.

Kaunter rugi mengatasi untung iaitu 160 berbanding 80 manakala 141 kaunter tidak berubah, 1,531 tidak diniagakan dan 38 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 101.9 juta bernilai RM50.27 juta.

Menurut seorang peniaga, sentimen luaran kekal tidak menentu berikutan perang perdagangan AS-China yang sukar dijangka dan terus berlanjutan dengan perang tarif serta sekatan dagangan lain yang tidak dilihat akan berakhir dalam masa terdekat ini.

“Memandangkan aktiviti jualan yang kembali meningkat, kami menjangkakan indeks petunjuk utama itu berpotensi untuk susut di bawah paras sokongan 1,600 iaitu mencecah semula paras 1,595 dan 1,592 manakala paras rintangan pula sekitar 1,610 dan 1,620,” katanya.

Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank turun empat sen kepada RM8.96 manakala Public Bank naik 14 sen kepada RM22.56 dan Petronas Chemicals untung satu sen kepada RM8.81.

TNB dan CIMB pula masing-masing tidak berubah pada RM11.58 dan RM5.16.

Bagi saham aktif, Barakah dan KNM masing-masing susut setengah sen kepada tujuh sen dan 18.5 sen manakala Dayang rugi empat sen kepada RM1.11.

IOI Properties dan Hubline masing-masing tidak berubah RM1.19 dan 5.5 sen.

Indeks FBM Emas turun 14.02 mata kepada 11,286.03, Indeks FBMT 100 susut 10.10 mata kepada 11,126.7 dan Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 24.06 mata kepada 11,427.28.

FBM 70 pula merosot 31.891 mata kepada 13,823.43 namun FBM Ace naik 17.69 mata kepada 4,412.83.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan 3.43 mata kepada 16,559.44, Indeks Perladangan turun sebanyak 4.86 mata kepada 6,890.64 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri susut 0.18 mata kepada 163.64. – BERNAMA