Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad (dua kiri) menyerahkan sumbangan kepada Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Mohd. Ajib Ismail (dua kanan) pada Program Agihan Sumbangan Ihya' Ramadhan di Masjid Jamek Kampung Bharu, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 21 MEI 2019.

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil pendirian menamatkan kontrak dua buah syarikat yang dilantik oleh bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Menurut menterinya, Khalid Samad, langkah itu perlu kerana kedua-dua syarikat berkenaan diberikan hak eksekutif oleh pentadbiran terdahulu untuk menjalankan perniagaan.

“Kita baru-baru ini sudah menamatkan kontrak Anjung Akar, sebuah syarikat yang diberikan pentadbiran terdahulu untuk hak eksklusif untuk papan iklan.

“Kita sudah tamatkan kontrak. Oracle Synergy juga kita dalam proses untuk tamatkan,” katanya kepada media selepas menghadiri program agihan sumbangan dan majlis berbuka puasa Kampung Bahru di Masjid Jamek hari ini.

Kedua-dua syarikat itu diberikan hak eksklusif oleh Tengku Adnan pada tahun 2014 untuk membantu mengatasi isu premis perniagaan yang beroperasi tanpa lesen.

Ia dilakukan kerana perolehan rendah oleh DBKL kerana perniagaan haram yang didakwanya beroperasi tanpa membayar sebarang bayaran lesen.

Justeru itu, Khalid mencadangkan agar DBKL melakukan sendiri pemantauan lesen kerana agensi itu berupaya untuk berbuat demikan.

“Secara asasnya memang kita perlu lakukannya sendiri kerana lesen adalah dari DBKL, DBKL yang semak.

“Ini bila mereka semak lesen dan peniaga memperbaharui lesen, mereka dapat komisen. Biar DBKL semak sendiri, kita gunakan kakitangan kita sendiri,” katanya lagi.

Pada 12 Mac lalu, DBKL telah mengeluarkan notis penamatan kepada Anjung Akar yang dilantik untuk menguruskan semua papan iklan yang berbayar di bandar.

Syarikat itu sebelum ini diberikan kontrak selama enam tahun mulai 8 Ogos 2017 hingga 7 Ogos 2023 untuk menguruskan dan mengesahkan semua papan iklan berbayar.

Sepanjang tempoh itu, DBKL bersetuju membayar yuran perkhidmatan tidak lebih daripada RM12 juta ditambah RM720,000 dalam GST (cukai barangan dan perkhidmatan). -MalaysiaGazette