Lesen am sementara selama 90 hari yang diberikan oleh Amerika Syarikat kepada Huawei disifatkan sebagai “tidak begitu berguna” dan syarikat itu sendiri sudah bersiap sedia sepenuhnya, kata Ketua Pegawai Eksekutif Huawei, Ren Zhengfei pada Selasa.

Bercakap dalam temubual bersama sekumpulan Kumpulan Media China, Ren berkata, Huawei berterima kasih di atas sumbangan syarikat-syarikat AS kepada mereka dan kebanyakan daripada kaunselornya adalah daripada syarikat AS seperti IBM.

“Kami menerima kawalan entiti daripada AS sejak setahun lalu tetapi ia tidak memberi kesan kepada syarikat-syarikat AS.

“Ahli-ahli politik AS yang perlu dipersalahkan kerana mereka meremehkan kekuatan kami,” katanya.

Ren juga melahirkan keyakinan terhadap keupayaan Huawei 5G dan mengesahkan projek tersebut tidak terjejas dengan sekatan yang dikenakan.

Beliau menjangkakan tiada pihak yang mampu mengejar kemajuan teknologi 5G oleh Huawei dalam tempoh dua hingga tiga tahun lagi.

Beliau turut menegaskan, syarikat tidak akan menghentikan penggunaan cip-cip dari AS secara mengejut tetapi dalam masa yang sama merayu untuk membangunkan bersama teknologi cip.

Katanya, ketika “masa aman”, separuh daripada cip mereka datang daripada AS manakala bakinya dikeluarkan oleh syarikat tersebut.

Huawei tidak akan mengasingkan diri daripada dunia, tegasnya.

“Kami boleh membuat cip sendiri sama seperti yang dikeluarkan oleh syarikat-syarikat AS tetapi ini tidak bermakna kami tidak akan membeli cip-cip daripada mereka.

“Kami memang perlu belajar daripada teknologi AS dari segi kelebaran dan kedalaman tetapi dalam bidang 5G, Huawei sudah terkehadapan walaupun tidak dapat dinafikan masih terdapat jurang lebar di antara China dan AS dari segi keseluruhan.

“Kami mengorbankan diri dan keluarga demi meneruskan impian untuk berdiri di puncak dunia yang mana ia akan menyebabkan pertembungan dengan AS,” katanya.- Agensi