Marsyila Zakaria
Marsyila Zakaria kelihatan gembira bersama anak-anaknya semasa membeli baju sebagai persiapan menjelang Hari Raya Aidilfitri di Jakel, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 21 MEI 2019

KUALA LUMPUR – Siapa sangka, kesuraman Marsyila Zakaria bersama enam anaknya untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri sebelum ini sebelum ini semakin bersinar apabila rezeki pada bulan Ramadan tidak putus daripada sumbangan orang ramai yang prihatin terhadap keluarga itu.

Tiada apa lagi mampu dikatakan, hanyalah syukur dalam keadaan sebak sebagai seorang ibu yang melihat anak-anaknya memiliki baju baharu untuk menyambut kedatangan 1 Syawal yang kini berbaki dua minggu lagi.

Melihat senyuman anak-anak sudah cukup membuatnya gembira tanpa memikirkankan tentang dirinya.

“Saya seronok tak terkata, memang tak terfikir langsung nak sambut Hari Raya dengan meriah, ada baju semua.

“Saya tidak pentingkan persiapan diri saya, pentingkan anak-anak. Kalau anak-anak dah ada baju pun, Alhamdulillah pada saya,” katanya kepada MalaysiaGazette.

MGF21052019_PPIM KELUARGA ASNAF_18
Anak-anak Marsyila Zakaria, Shahkiera (kanan) dan Rayshah kelihatan gembira semasa membeli baju sebagai persiapan menjelang Hari Raya Aidilfitri di Jakel, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 21 MEI 2019

Sejak tersebar berita tentang kedaifan hidup tujuh beranak ini di PPR Desa Tun Razak Bandar Tasik Selatan, suri rumah berusia 35 tahun itu cukup gembira apabila melihat anak-anaknya mempunyai makanan yang cukup yang dihulurkan hampir setiap hari.

Meskipun tidak lagi perlu mengikat perut, tambahnya, anak-anaknya, termasuk seorang Orang Kurang Upaya (OKU), sentiasa makan dalam keadaan berjimat cermat.

Keadaan ini bagi Marsyila banyak membantu keluarganya.

“Alhamdulillah sejak orang ramai datang beri sumbangan maknanya saya tidak perlu keluar tinggalkan anak.

“Anak pun makan alhamdulillah lebih-lebih lagi yang autisme itu sebab dia kalau tak cukup makan dia akan cederakan diri.

“Dia makan pun tetap tidak membazir umpama dia takut bila habis nanti tidak ada yang boleh dimakan,” katanya lagi.

MGF21052019_PPIM KELUARGA ASNAF_19
Marsyila Zakaria bercakap kepada media semasa membeli baju sebagai persiapan menjelang Hari Raya Aidilfitri di Jakel, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 21 MEI 2019

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) hari ini membawa Marsyila ke gedung pakaian, Jakel Mall dengan tajaan seorang lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Shamsul.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, bantuan kepada keluarga ini diharap memberi impak besar khususnya memberi kegembiraan kepada anak-anak Marsyila.

“Jadi kita rasa ada kesan tengok budak-budak ini seronok.

“Mungkin boleh bawa perubahan sedikit sebanyak mungkin kita berusaha sejam dua, tapi impaknya cukup bermakna,” tambahnya.

Nadzim berkata, ketabahan ibu kepada enam orang anak mengharungi kehidupan yang serba kekurangan itu sangat menyentuh hati. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast