Dr AIni Ideris

KUALA LUMPUR – Isu kuota bagi program matrikulasi tidak wajar dibangkitkan kerana semua kemasukan dan sokongan ekosistem dalam program itu, Tingkatan 6 mahupun Asasi adalah inklusif, berkualiti dan melibatkan pelajar dan pendidik semua kaum.

Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Datuk Dr. Aini Ideris berkata, program matrikulasi adalah alternatif kepada program pra-universiti yang lain dan bukannya program untuk tujuan mendiskriminasikan mana-mana kaum.

Lantaran itu, katanya, UPM melihat kenyataan Menteri Pendidikan Malaysia, Dr Maszlee Malik berkaitan sistem kuota Program Matrikulasi Kementerian Pendidikan bukan sebagai suatu sentimen perkauman.

“Kita dapat rumuskan semua pelajar tanpa mengira latar belakang kaum dan sosio ekonomi mendapat peluang untuk melanjutkan pengajian mereka ke universiti dan dalam masa yang sama menghormati kontrak sosial yang dipersetujui oleh pembina negara bangsa sejak merdeka.

“Kontrak sosial ini menyokong peluang semua kaum dalam pendidikan, ekonomi, politik, budaya, agama dan sebagainya yang masih memerlukan reformasi secara adil dan inklusif dengan mengambilkira faktor sejarah dan perkembangan kemajuan pembinaan negara sejak 62 tahun kemerdekaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Malah, Dr Aini berkata, UPM menyokong pertambahan bilangan pelajar matrikulasi daripada 25,000 kepada 40,000 dan selari dengan penambahan ini, ia akan membantu meningkatkan lagi peluang pelajar cemerlang untuk kedua-dua pihak iaitu pelajar Bumiputera dan bukan Bumiputera ke dalam program tersebut sebagai persediaan kemasukan ke universiti awam.

Jelasnya, penambahan bilangan ini juga akan membantu meningkatkan bilangan pelajar cemerlang dalam kalangan aliran sains tulen yang masih kekurangan untuk pembangunan negara.

Dr Aini turut menjelaskan matrikulasi bukan memberi ruang kepada pelajar Bumiputera yang kurang kompeten kerana pemilihan kemasukan juga adalah berdasarkan merit pencapaian pelajar sewaktu di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Ini kerana pemilihan calon ke universiti daripada lulusan Matrikulasi, STPM, Asasi dan Diploma juga dibuat berdasarkan merit pencapaian dalam peperiksaan peringkat masing masing mengikut standad kesetaraan yang ditetapkan Unit Pusat Universiti, Kementerian Pendidikan Malaysia.

Sebagai contoh, lebih dari 90 peratus pelajar lepasan Matrikulasi yang memohon ke program UPM adalah dalam kalangan yang mendapat CGPA lebih dari 3.5 mata.

Manakala lebih dari 90 peratus kemasukan ke program Asasi Pertanian UPM (ASPER) setiap tahun adalah pelajar yang mendapat CGPA yang hampir 4 mata penuh, sekali gus menunjukkan pemilihan adalah dalam kalangan pelajar cemerlang.

Malah, ramai antara pelajar yang dipilih juga adalah dari golongan B40, kata Dr Aini.

Justeru, tegasnya, program Matrikulasi bukannya program ‘pintu belakang’ tetapi adalah program ‘affirmative’ bagi menyediakan pelajar untuk bersaing secara sihat dengan rakan mereka yang mengikuti STPM dan Asasi. – MalaysiaGazette