Rafi Awg Kechik
Rafi Awg Kechik

KUALA LUMPUR – Gesaan Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang agar Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi melepaskan jawatan Presiden UMNO menerima kecaman aktivis politik.

Mereka menyifatkan Maulizan yang mempunyai tali kekeluargaan dengan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Johor, Datuk Mazlan Bujang ada agenda tertentu untuk menjatuhkan kepimpinan UMNO.

Mohd Rafi Awang Kechik berkata, walaupun Ahmad Zahid bercuti dari jawatan Presiden, tetapi beliau yang meletakkan asas kerjasama antara UMNO dengan Pas yang terus diperkukuhkan pemangku dan barisan kepimpinan hingga kini.

Waktu itu, kata beliau, ramai yang menentang, mengherdik dan mencacinya, tetapi asas yang diambil Ahmad Zahid ialah Melayu mesti bersatu.

“Siapa kata Ahmad Zahid tiada hala tuju. Dialah yang telah meletakkan asas kerjasama dengan Pas yang terus diperkukuhkan hingga kini,” katanya dalam hantaran yang dimuat naik menerusi akaun Facebooknya hari ini.

Beliau mengulas dan menempelak kenyataan media Maulizan semalam yang menggeza Ahmad Zahid melepaskan jawatannya sebagai Presiden UMNO demi kemaslahatan parti.

Katanya, Ahmad Zahid tidak perlu kembali menjalankan tugas sebagai presiden, sebaliknya Ahli Parlimen Bagan Datoh itu terus bercuti dan membiarkan parti dikemudi oleh pemimpin yang mampu memberikan nafas baru.

Namun, ujar pemimpin UMNO Bahagian Tebrau itu, jalan untuk Ahmad Zahid untuk kembali kepada parti terbuka luas sekiranya kes mahkamahnya selesai.

Menurut Mohd Rafi, beliau dan rakan dapat mengesan ada usaha dari kalangan kepimpinan UMNO peringkat bahagian hendak menyingkirkan Ahmad Zahid, tetapi pada masa sama, kumpulan itu sendiri tidak mempunyai hala tuju jelas.

Sebagai bukti, beliau melihat Maulizan begitu konsisten membalun Ahmad Zahid sejak Presiden UMNO bercuti sehingga kini.

“Peliknya, tidak pula kita dengar dia membalun Pakatan Harapan (PH) Johor terutama sekali PPBM yang diketuai ahli keluarganya sendiri.

“Adakah dia dijadikan ‘trojen horse’ dalam UMNO oleh Mazlan untuk mengucarngacirkan UMNO? Berapa upah atau ganjaran yang dia dapat dari ahli keluarganya untuk misi membalun Presiden sendiri?

“Atau pakatan apa yang dia dan Mazlan sedang laksanakan ini? Kepimpinan Tertinggi UMNO tidak boleh diam tengok kegilaan ini yang nampak semakin meracau,” ujarnya. – MalaysiaGazette