Pengarah Urusan Golden Minerals Sdn Bhd, Datuk Seri R Rajagopal hadir untuk laporan susulan Penyelewengan dan Penyalahgunaan Kuasa oleh Syarikat Milik Kerajaan Negeri Terengganu di Pejabat SPRM, Putrajaya. foto NOOREEZA HASHIM, 21 MEI 2019.

PUTRAJAYA – Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar didakwa berbohong kepada media berhubung isu tuntutan bayaran bagi kerja-kerja perlombongan bijih besi.

Perkara itu ditegaskan, Pengarah Urusan Golden Minerals Sdn Bhd (GMSB), Datuk Seri R. Rajagopal apabila mendakwa, maklumat yang diberikan oleh Ahmad Samsuri bahawa anak syarikat Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) iaitu Permint Minerals Sdn Bhd (PMSB) sebagai sudah ‘gulung tikar’ adalah tidak benar.

Menurutnya, beliau mempunyai bukti bahawa syarikat tersebut masih ada dan pengesahan mengenai perkara itu dibuktikan melalui pencarian terakhir di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

“Apakah niat sebenar beliau sehingga memberi kenyataan sedemikian?” katanya kepada wartawan semasa ditemui selepas berhenti rehat ketika memberikan keterangan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Rajagopal berkata, dalam temuramah tersebut, Ahmad Samsuri turut mengatakan pihak kerajaan negeri tidak bertanggungjawab terhadap PMSB kerana apa yang berlaku adalah berkaitan tentang perniagaan.

Namun tegasnya, jika itu yang diperkatakan oleh menteri besar bagaimana pula dengan afidavit yang telah diikrarkan oleh PMSB pada 2 Januari lepas bahawa PMSB adalah milik kerajaan negeri Terengganu dan ianya melibatkan kepentingan umum.

Malah, Rajagopal turut mempersoal berhubung afidavit yang diikrarkan pada tarikh berkenaan apabila menyatakan PMSB mempunyai kepentingan bagi hasil pendapatan atau perbendaharaan kerajaan negeri.

“Bilakah syarikat tersebut telah digulungkan dan siapakah yang telah menggulungkan syarikat itu?

“Adakah sebarang pengesahan atau pengisytiharan di mahkamah atau SSM yang boleh dikemukan oleh kerajaan negeri Terengganu?” soalnya lagi.

Dalam perkembangan sama, Rajagopal mendakwa, Pengarah PMSB juga telah ditukarkan dengan pengarah baru yang tidak dikenali dan makluman itu diperolehi melalui carian terbaru pada data SSM.

Terdahulu, Rajagopal menerusi satu sidang media minggu lepas menuntut kerajaan negeri Terengganu supaya membayar kepada mereka mengikut perintah mahkamah berjumlah RM15,342,212.55.

Ia merupakan bayaran bagi kerja-kerja melombong bijih besi di kawasan Padang Air Putih Mukim Bandi di Kemaman Terengganu yang telah terhenti sejak 2009.

Rajagopal mendakwa, kerajaan Terengganu telah mengingkari arahan Mahkamah Rayuan berhubung perkara itu.

Katanya, banyak usaha telah dilakukan sejak September tahun lalu bagi mendapatkan bayaran kerugian berkenaan terhadap PMSB selepas mahkamah mengeluarkan arahan itu, namun ianya menemui jalan buntu.

Bagaimanapun, dalam satu laporan media, Ahmad Samsuri dipetik berkata, kerajaan negeri menyerahkan kepada proses undang-undang berhubung kegagalan anak syarikat kerajaan negeri (GLC) berkenaan melunaskan kerugian keuntungan RM15.3 juta kepada GMSD.

Ujarnya, setakat ini kerajaan negeri tidak dapat berbuat apa-apa kerana PMSB sudah dibubarkan.

Beliau turut memberitahu bahawa pembubaran itu telah dilakukan lebih awal lagi. – MalaysiaGazette

Syarikat bijih besi tuntut kerajaan Terengganu bayar RM15 juta