Yang Dipertua Gabungan Teksi Malaysia, Kamarudin Mohd Hussain (tengah) bersama ahli-ahli Gabungan Teksi Malaysia hadir untuk menghantar laporan kepada SPRM berhubung tindakan Anthony Loke terhadap peraturan e-hailing dan penggunaan cermin gelap di Pejabat SPRM, Putrajaya. foto NOOREEZA HASHIM, 21 MEI 2019.

PUTRAJAYA – Sebuah persatuan teksi hari ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

Ia berhubung dakwaan salah guna kuasa yang dilakukan oleh Ahli Parlimen Seremban itu terhadap beberapa perkara membabitkan perkhidmatan teksi.

Yang Dipertua Gabungan Teksi Malaysia, Kamarudin Mohd Hussain mendakwa, Anthony dilihat sengaja meminda peraturan semata-mata memberi kepentingan kepada pemandu e-hailing.

Katanya, segala pindaan yang dibuat dilakukan tanpa mengadakan perbincangan dan kajian daripada pelbagai pihak termasuk pemandu teksi.

“Kita akan bagi bahan bukti berkenaan. Sejak akhir-akhir ini, pihak Anthony menggunakan jawatannya meminda peraturan sedia ada.

“Dahulu, peraturan dibuat demi menjaga keselamatan pemandu, penumpang dan pengguna jalan raya tetapi, hari ini apa sahaja peraturan yang sedia ada, dipinda dan dia (Anthony) buat itu semua untuk kepentingan Grab,” katanya kepada media semasa membuat laporan di ibu pejabat SPRM di sini.

Menurut Kamarudin, satu memorandum dihantar kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad memohon campur tangannya bagi memastikan pemandu teksi mendapat layanan sama rata seperti penyedia perkhidmatan e-hailing.

Dalam pada itu, Kamaruddin turut mendakwa Anthony tidak melayan permohonan mengadakan perbincangan menerusi lapan pucuk surat yang dihantar kepada Kementerian Pengangkutan.

Dakwanya, beliau tidak menolak kemungkinan wujud unsur rasuah dan salah guna kuasa di kementerian itu.

“Dengan kami, pihak pemain industri tak boleh berunding. Kami percaya dalam MOT (Kementerian Pengangkutan) berlaku benda yang tak betul.

“Mungkin ada gejala rasuah atau gejala salah guna kuasa,” dakwanya.

Kamaruddin turut mendakwa, Anthony berat sebelah apabila memberi kelonggaran kepada pemandu perkhidmatan e-hailing untuk mendapatkan lesen kenderaan pengangkutan awam (PSV).

Katanya, sebelum ini pemandu teksi wajib menghabiskan masa selama enam jam untuk mengikuti kursus, menjalani ujian praktikal dan dikenakan bayaran sebanyak RM800 hingga RM1,000.

Tetapi sebaliknya, pemandu perkhidmatan e-hailing seperti Grab ujian praktikal dibatalkan dan masa kursus pula dipendekkan.

Malah, katanya kadar bayaran turut dikurangkan kepada hanya RM200 sahaja, dakwanya.

Pada 17 Mei lalu, Anthony mengumumkan kerajaan memberi kelonggaran kepada pemandu e-hailing menjalani kursus dalam talian bagi mendapatkan lesen PSV sebelum 12 Julai ini, dengan syarat mereka perlu menghabiskan enam jam masa yang diperuntukkan. – MalaysiaGazette