Rumah Anak Yatim Raudhatul Al-Faeez
Pengasas Rumah Anak Yatim Raudhatul Al-Faeez, Zahrina Saat (tengah) bersama pengasas bersamanya, Norzana Rafie (kiri) dan Pengurus Pemasaran Fame Up Entertaiment, Nasrul Baharudin (kanan) menunjukkan gambar kesan rumah terbakar yang menimpa kira-kira 35 penghuni rumah anak yatim berkenaan pada hujung tahun lepas di Taman Lembah Keramat, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 21 MEI 2019.

KUALA LUMPUR – Sudah jatuh ditimpa tangga. Begitulah nasib kira-kira 30 anak yatim yang telah kehilangan tempat tinggal mereka di Gombak selepas kebakaran pada 23 November lalu.

Kini mereka berdepan pula dengan risiko diusir dari rumah sewa di Taman Lembah Keramat di sini.

Pengasas Rumah Raudatul Al-Faeez, Zahrina Saat berkata, memandangkan kontrak sewaan rumah akan berakhir hujung Mei ini, pihaknya mungkin berdepan risiko kehilangan tempat berteduh sekali lagi.

“Rumah sini kita sewa selepas kebakaran sementara kita tunggu rumah di sana dibina semula. Kalau sempat siap kita akan pindah ke sana tapi sekarang dana kita agak tersekat.

“Sudahlah kos perbelanjaan kita di sini sangat tinggi naik hampir sekali ganda kadang-kala mencecah RM22,000 sebulan, jika dibandingkan dengan kawasan rumah kami di Gombak yang tidak lebih RM12,000 sebulan.

“Sekarang yang membimbangkan kami adalah selepas kontrak sewa tamat Jun ini, kemungkinan harga sewa meningkat dan bulan enam ini juga kemungkinan kami terpaksa mula membayar sewa rumah di sini,” katanya ketika ditemui di Rumah Raudatul Al-Faeez di Taman Lembah Keramat hari ini.

MGF21052019_PC RUMAH ANAK YATIM AL-FAEEZ02
Pengasas Bersama Rumah Anak Yatim Raudhatul Al-Faeez, Norzana Rafie bercakap pada sidang media khas nasib kira-kira 35 penghuni rumah anak yatim berkenaan rumah mereka yang terbakar pada hujung tahun lepas di Taman Lembah Keramat, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 21 MEI 2019.

Sementara itu, pengasas bersama Rumah Raudatul Al-Faeez, Norzana Rafie, 47, berkata, pihaknya sedang bergelut untuk mencari dana sehingga RM350,000 bagi membiayai kos pembinaan semula rumah anak yatim mereka yang terbakar pada 23 November lalu.

“Masa kita buat rumah itu, kita tak terfikir kena buat dinding penahan sistem kumbah. Bila berlaku kebakaran, pihak bomba suruh kita buka semua, maknanya sistem kumbahan kena buat balik, kena korek.

“Kita jangka RM350,000 boleh siap semua tapi sekarang sudah RM180,000 habis untuk buat tapak asas dan dinding penahan saja. Yang lain belum usik lagi, fasa satu sudah habis, kita ada banyak fasa lagi nak buat.

“Kalau kita naikkan bangunan, nanti orang akan nampak projek itu terbengkalai, jadi untuk siapkan semua sekarang kita perlukan RM350,000 mengikut spesifikasi bomba,” katanya.

Zahrina Saat
Pengasas Rumah Anak Yatim Raudhatul Al-Faeez, Zahrina Saat bercakap pada sidang media khas nasib kira-kira 35 penghuni rumah anak yatim berkenaan rumah mereka yang terbakar pada hujung tahun lepas di Taman Lembah Keramat, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 21 MEI 2019.

Dalam pada itu, Zahrina turut meluahkan kesukaran pihaknya terus menetap di kawasan perumahan itu kerana tidak sesuai dijadikan rumah kebajikan, ditambah pula kejiranan di situ adalah kawasan elit.

“Kita berada dalam kawasan elit, kita di sana (Gombak) selama 10 tahun di atas bukit, daripada segi makanan, kita boleh dapat di keliling rumah kita, di sini apa saja kita nak masak memang kena beli.

“Dalam kawasan elit ini, apa yang sekolah nak, kita tak boleh tak sediakan, sebab kawasan sini memang semua orang berada, kita pula terpaksa ikut arus itu, kalau tidak nanti anak-anak kita akan hilang semangat,” luahnya.

Rumah Anak Yatim Raudhatul Al-Faeez
Sebahagian penghuni Rumah Anak Yatim Raudhatul Al-Faeez meluangkan masa bersama di rumah sewa yang pihak pengurusan sediakan selepas rumah mereka terbakar pada hujung tahun lepas di Taman Lembah Keramat, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 21 MEI 2019.

Menurut Zahrina, rumah sewa yang mula diami itu sejak 1 Disember lalu menimbulkan sedikit kesukaran apabila kawasan luar rumah yang dijadikan sebagai ruang sembahyang dan tempat belajar dinaiki air setiap kali hujan lebat.

“Masalah rumah di sini tiada, cuma bumbung tambahan yang kita buat ini masih lagi dimasuki hujan, mungkin spesifikasi kita salah, atau kontraktor tidak nasihatkan kita apa patut buat.

“Bila hujan, kami solat di tempat ini, basah di semua keliling (tepi rumah) ini tempat solat dan tempat belajar anak-anak.

“Dalam rumah memang tak ada tempat (solat/ belajar), terlalu sempit sebab rumah kecil, ada empat bilik saja,” katanya.

Beliau juga mengalu-alukan orang ramai untuk menghulur sumbangan bagi meringankan beban 30 anak yatim berkenaan dan sumbangan kewangan boleh disalurkan atas nama Pengurusan Raudhatul Al Faeez melalui no akaun Maybank 562508510350 atau menghubungi terus di talian 016-262 7412. -MalaysiaGazette