CYBERJAYA- Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) tidak bersetuju dengan keputusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang membenarkan air dari loji rawatan (LRA) Ayer Ganda di Gerik, Perak selamat digunakan untuk tujuan lain selain diminum.

Pengerusinya, Charles Santiago berkata, pencemaran arsenik adalah satu kes serius kerana akan memberi kesan kepada kesihatan pengguna dalam jangka masa panjang antaranya risiko penyakit barah.

“KKM kata air berkenaan boleh digunakan untuk tujuan lain seperti mandi atau membasuh tetapi racun tersebut tetap boleh memasuki badan manusia melalui ruang roma dan sebagainya.

“Kami tidak bersetuju dengan cadangan tersebut,” katanya kepada pemberita semasa menghadiri majlis berbuka puasa bersama media anjuran SPAN di sini malam tadi.

LRA Ayer Ganda telah ditutup sejak 9 April lalu berikutan keracunan arsenik bagaimanapun KKM pada 18 April mengumumkan air daripada loji berkenaan masih boleh digunakan untuk tujuan selain minuman dan masakan.

Menurut Charles, keputusan untuk membuka semula LRA Ayer Ganda masih belum diputuskan.

Dalam pada itu, SPAN katanya mencadangkan supaya KKM mengadakan ujian berkala di loji-loji rawatan air bagi mengenal pasti dengan segera sekiranya terdapat sebarang pencemaran logam berat dalam kandungan air.

KKM juga perlu memberi tanda amaran merah kepada mana-mana LRA yang disyaki mengandungi pencemaran logam berat ini kerana menurut Charles, kementerian tersebut telah mengesan pencemaran arsenik di LRA Ayer Ganda sejak 2012 namun tiada sebarang tindakan diambil sehinggalah pada 2018.

Dalam perkembangan lain, Charles berkata, SPAN telah mengadakan program turun padang dengan pelbagai peringkat pemegang taruh bagi mendapatkan maklum balas mengenai kenaikan tarif air.

Katanya, pengguna secara amnya tidak kisah sekiranya tarif air dinaikkan sedikit namun mereka mahu syarikat pengurusan air memberi jaminan untuk memberikan perkhidmatan berkesan.

“Melalui maklum balas yang kami terima, pengguna memahami keperluan untuk menaikkan tarif air di negara ini kerana ada sesetengah negeri seperti Pahang, tarif air tidak berubah sejak 36 tahun lalu manakala di Selangor sudah lebih 10 tahun.

“Tetapi mereka mahu syarikat pengurusan air memberi jaminan perkhidmatan yang berkesan.

“Apa guna kami membayar tarif air lebih mahal tetapi selang dua atau tiga hari, bekalan air terputus. Pada saya, itu pendapat yang adil,” katanya lagi.

Menurut Charles, terdapat enam negeri sudah bersetuju untuk menaikkan tarif air tetapi beliau tidak mendedahkan nama negeri-negeri berkenaan.- MalaysiaGazette