MELAKA – Perubahan warna air Sungai Melaka yang bertukar hitam, berbau busuk serta banyak ikan mati di sungai itu khususnya di Taman Rempah di sini bukan berpunca daripada pencemaran sebaliknya dipercayai disebabkan pengaruh air laut.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Melaka, Datuk Tey Kok Kiew berkata berdasarkan laporan awal Jabatan Alam Sekitar (JAS) hari ini dakwaan pencemaran melibatkan pelepasan toksik dan bahan berbahaya dari industri tidak dapat dibuktikan dan tidak berasas kerana hanya spesies tilapia dikesan mati di sungai tersebut.

Beliau berkata berdasarkan laporan JAS juga, bacaan ‘dissolved oxygen’ di tujuh lokasi di sepanjang Sungai Melaka adalah baik kecuali di hadapan baraj Sungai Melaka yang mencatatkan 4.7 mg/l sementara bacaan pH pula adalah neutral dan sedikit menaik ke paras alkali di kawasan Malim.

“Sekiranya berlaku kejadian pelepasan toksik dan berbahaya dari industri, kejadian ikan mati akan dapat dilihat berdekatan dengan aliran keluar kawasan perindustrian bukannya di hilir sungai dan pelepasan toksik akan menyebabkan semua hidupan air akan terjejas, bukan hanya ikan tertentu.

“Bangkai ikan tilapia hanya dikesan sepanjang tujuh kilometer dari muara Sungai Melaka ke Melaka Sentral dan bangkai hidupan air terutama spesies ikan itu tidak dikesan kawasan lain atau di Pintu Kawalan Air Batu Hampar,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Semalam Bernama melaporkan pencemaran Sungai Melaka yang menyebabkan air bertukar warna menjadi hitam, berbau busuk dan ikan mati dikesan berlaku terutama di Taman Rempah di sini sejak dua hari lepas.

Tey berkata perubahan warna air yang bertukar menjadi hitam dan kotor pula boleh disebabkan beberapa faktor termasuk ‘flushing’ yang apabila tindakan itu dilakukan di muara Sungai Melaka, terdapat banyak lumpur atau mendapan di bahagian dasar sungai naik ke permukaan dan menyebakan perubahan itu.

Beliau berkata justeru beberapa langkah perlu dilakukan iaitu penyelarasan melakukan ’flushing’ dengan membuka baraj secara perlahan-lahan bagi mengelak air laut masuk dengan banyak dan bertembung dengan air sungai sehingga menyebabkan perubahan drastik kandungan air yang boleh menyebabkan ikan mati.

Sementara itu, katanya JAS telah mengambil sampel air di tujuh lokasi di sungai itu dan satu sampel pengawasan kualiti air sungai di Jambatan Hang Jebat untuk dianalisa dan keputusan dijangka diketahui dalam tempoh dua minggu.- BERNAMA

ARTIKEL BERKAITAN:

Sungai Melaka bertukar hitam, berbau busuk, ikan mati dipercayai tercemar

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here