Kemudahan terapung milik Petronas, PFLNG Satu
Kemudahan terapung milik Petronas, PFLNG Satu

KUALA LUMPUR- Petronas berjaya mengeluarkan hasil pertama gas asli cecair (LNG) daripada kemudahan terapungnya, Petronas Floating LNG Satu (PFLNG Satu) yang terletak di lapangan kluster Kebabangan, 90 kilometer dari luar pesisir Sabah, baru-baru ini.

Dikendalikan oleh Kebabangan Petroleum Operating Company Sdn. Bhd. (KPOC), lapangan Kebabangan merupakan lokasi kedua PFLNG Satu selepas lapangan Kanowit, Sarawak.

Kemasukan gas pertama ke dalam PFLNG Satu dari lapangan Kebabangan adalah menerusi saluran paip fleksibel sepanjang 5 km pada 4 Mei lalu.

Permulaan aktiviti tersebut merangkumi penyejukan gas asli sehinggalah pengeluaran LNG pertama tiga hari selepas itu.

Menurut Naib Presiden LNG Asset Petronas Zakaria Kasah, pencapaian tersebut menunjukkan kejayaan pelaksanaan dan usaha kerjasama rapat dalam Petronas dan pihak luar seperti kerajaan negeri dan badan-badan berkaitan.

“Kami bukan sahaja berjaya membuktikan konsep kami terhadap kemudahan terapung boleh dipindahkan ini tetapi kami juga berjaya menghasilkan LNG dalam tempoh tiga hari selepas gas pertama masuk.

“Ini sudah pastinya menjadi sesuatu yang sangat membanggakan kepada Petronas dan industri kemudahan terapung LNG,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Direka untuk kedalaman air di antara 70 meter sehingga 200 meter, PFLNG Satu mempunyai kapasiti untuk memproses 1.2 juta tan gas setahun.

Ia memiliki 155 krew dan penghantaran kargo LNG pertama ke lapangan baharu dijangka pada Jun ini.- MalaysiaGazette