Zuraida Kamaruddin
Zuraida Kamaruddin

KUALA LUMPUR – Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan diminta memberi pertimbangan berhubung bantahan penduduk yang menentang cadangan projek ‘Anaerobic Digester’ yang dicadang dibina di Jalan Memanda 27, Taman Dato Ahmad Razali, Ampang.

Projek itu merupakan pencernaan anaerobik adalah proses penguraian bahan organik menggunakan bakteria.

Bantahan itu telah diserahkan kepada Zuraida Kamaruddin dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya.

Ini kerana, jika projek itu diteruskan, ia akan menjejaskan kira-kira 10,000 penduduk berhampiran.

Ketua Dewan Pemuda Ikatan Malaysia, Shahir Adnan berkata, proses biologi ini menghasilkan gas, terutamanya gas metana dan karbon dioksida dan gasnya sangat tidak baik untuk kesihatan.

Menurutnya, teknologi ini wujud di negara luar, tetapi di sana ia tidak menjadikan kawasan berhampiran perumahan dan sekolah sebagai tapak projek.

“Malangnya di Malaysia, tapak projek ini betul-betul di sebelah kawasan perumahan, Kondominium KOJAYA (5 meter). Ini sangat melanggari penetapan peraturan oleh Jabatan Alam Sekitar yang meletakkan zon penampan 350 meter daripada sumber pencemar ke sempadan petempatan.

“Zon ini juga berdekatan dengan Sekolah Menengah Kebangsaan Dato Ahmad Razali (100 meter), Sekolah Tinggi Islam As-Sofa (150 meter) dan beberapa tadika anak-anak kecil yang bakal mengganggu keselamatan, kesihatan dan pembelajaran anak-anak,” katanya di sini hari ini.

Shahir berkata, penduduk di kawasan terlibat juga berhak mendapatkan kehidupan selesa.

“Adakah YB Zuraida dan keluarga ingin tinggal di kawasan sampah? Kira-kira 10 ribu penduduk akan terjejas jika projek ini tetap dilaksanakan,” ujar beliau sambil tidak menolak wakil rakyat yang dipilih bakal kehilangan 10,000 sokongan jika isu ini tidak ditangani dengan adil. – MalaysiaGazette