Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Charles Santiago (tengah) bergambar kenangan bersama anggota-anggota Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara dan pemenang Pertandingan Video Penjimatan Air pada Majlis Berbuka Puasa Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara bersama media di Cyberview Resort & Spa, Cyberjaya. foto NOOREEZA HASHIM, 21 MEI 2019.

CYBERJAYA- Keputusan hasil siasatan kejadian paip pecah di tapak projek Pembinaan Lebuh Raya West Coast Expressway (WCE) Banting-Taiping dekat Klang dijangka siap dalam tempoh sebulan.

Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Charles Santiago berkata, Jawatankuasa Khas Siasatan yang dilantik pada minggu lepas telah memulakan proses siasatan.

“Pasukan perundangan telah pun memulakan kerja mereka kini tinggal pasukan teknikal pula.

“Terlalu banyak teori mengenai punca kejadian tetapi SPAN hanya akan menunggu hasil siasatan daripada jawatankuasa khas yang terdiri daripada pakar-pakar ini.

“Kami akan mengambil tindakan yang sewajarnya selepas hasil siasatan diperoleh,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa Media anjuran SPAN di sini malam tadi.

Jawatankuasa Khas Siasatan tersebut dianggotai wakil SPAN dan pakar-pakar dalam bidang berkaitan daripada Jabatan Bekalan Air, Jabatan Mineral dan Geosains, Jabatan Kerja Raya (Sektor Pakar dan Sektor Infra), Institusi Jurutera Malaysia (IEM) dan juru perunding bebas.

Tambah Charles, selain menjalankan siasatan terhadap punca kejadian, jawatankuasa berkenaan juga perlu memberi syor dan cadangan langkah-langkah bagi mencegah kejadian berulang lagi.

Dalam insiden 4 Mei lalu paip utama yang berdiameter 1,400mm, 900mm dan 600mm pecah dan mengakibatkan gangguan bekalan air kepada pengguna-pengguna di 65 kawasan di Wilayah Klang yang melibatkan sebanyak 175,036 akaun pengguna, khususnya yang mendapat bekalan air dari Kolam Air Bukit Lipat Kajang.

Gangguan bekalan air di kawasan-kawasan tersebut berlanjutan selama seminggu akibat pergerakan tanah yang mengganggu kemajuan kerja-kerja pembaikan paip-paip dan bekalan air pulih sepenuhnya pada 12 Mei lalu.- MalaysiaGazette